suria

Tiket Piala Malaysia: KFA Berpuas Hati

Penjaga gol Kedah Ikwat Akmal gembira selepas pasukannya layak ke final Piala Malaysia selepas seri 0-0 dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam Sabtu. Kedah layak dengan agregat 2-1. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) terpaksa berpuas hati dengan peruntukan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 sebanyak 30,000 keping di Stadium Shah Alam pada 30 Oktober ini.

Pengurus pasukan, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya telah meminta untuk menambah jumlah tiket, namun terpaksa akur dengan peruntukan tersebut demi keselamatan kedua-dua pasukan.

"Pada mesyuarat tadi, saya ada tanya untuk tambah jumlah tiket bagi penyokong Kedah, namun ianya telah ditetapkan.

"Jumlah yang sama diberikan kepada pasukan lawan (Selangor) dan saya harap penjualannya nanti akan berjalan lancar," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia pada Isnin.

Aminuddin juga menambah, peruntukan tersebut juga dikira adil demi keselamatan penyokong-penyokong yang hadir.

"Jumlah yang diperuntukkan bagi kedua-dua pasukan berdasarkan jumlah kapasiti penonton di Stadium Shah Alam.

"Saya harap penyokong-penyokong Kedah datang berhemah dan perlawanan kedua-dua pasukan berjalan lancar," tambahnya.

Tiket akan mula dijual secara serentak di Stadium Darul Aman dan Stadium Shah Alam pada 26 Oktober ini.

Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut menentang Selangor bagi edisi ke-90 trofi berprestij bola sepak negara.
KFA, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain