suria

Negeri Sembilan Juarai Piala Agong

Pemain Perak, Mohd Khairul Naib (kiri) cuba menghalang pemain Negeri Sembilan, Norfaizzal Farooq dalam Perlawanan Akhir Piala Agong di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu malam. Foto Bernama

SEREMBAN: Negeri Sembilan muncul juara bola sepak Piala Agong selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu malam.

Kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang pada perlawanan pembuka tirai saingan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-76 tahun ini, dengan beberapa kali berbalas serangan tetapi gagal membuahkan hasil.

Namun tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi kapten pasukan, Antony Maniam yang menewaskan penjaga gol Perak, Mohd Naufal Jahaya menerusi tandukan hasil sepakan sudut sebelah kiri pintu gol lawan.

Peluang Negeri Sembilan menambah gol kedua hadir pada minit terakhir babak pertama tetapi sepakan Norfaizzal Faroq yang berjaya menewaskan pertahanan lawan dan Mohd Naufal hanya sekadar menggegarkan tiang sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, Perak di bawah kendalian jurulatih Maamah Hajri Abd Wahad terus menggandakan asakan memburu gol dan memperoleh peluang keemasan dalam kawasan penalti Negeri Sembilan hasil lambungan bola daripada Muhd Ikmal Abd Rahim pada minit ke-55, namun gagal disempurnakan rakan sepasukan. 

Bagaimanapun, Norfaizzal tidak menunggu lama untuk melebarkan jurang jaringan Negeri Sembilan pada minit ke-58 selepas menyepak bola muntah tepisan Mohd Naufal hasil sepakan kencang Mohd Shahrul A. Aziz dari sudut sebelah kiri pintu gol. 

Keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.  

Sebagai juara, Negeri Sembilan memperoleh piala dan wang tunai RM10,000 manakala Perak membawa pulang wang tunai RM5,000. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain