suria

Liridon Krasniqi Jawab Status Bersama Kedah Musim Depan

Liridon Krasniqi

PELBAGAI khabar angin mengenai masa depan Liridon Krasniqi bersama pasukan Kedah tersebar sejak pertengahan musim lalu apabila sebuah pasukan gergasi dari selatan didakwa berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Walaupun tiada pengesahan, namun khabar angin itu terus menjadi 'buah mulut' khususnya penyokong Kedah kerana kontrak pemain berkenaan akan berakhir selepas tamat aksi Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, pemain import dari Kosovo yang banyak menabur bakti kepada skuad hijau kuning itu kelihatan tenang apabila ditanya mengenai statusnya bersama Kedah untuk musim depan.

"Jika ada tawaran saya akan kekal," jawabnya ringkas kepada mStar Online.

Tambah Krasniqi, dirinya dan Kedah tidak dapat dipisahkan sejak menyertai pasukan itu pada April tahun lalu kerana dapat menyesuaikan diri di negara ini.

"Kedah adalah pasukan profesional pertama yang saya dapat mengumpul pelbagai kejayaan dan pengalaman manis. Penyokongnya juga menakjubkan.

"Saya juga tidak lupakan keprihatinan pemain, barisan jurulatih dan pegawai KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) yang banyak membantu dan memberi peluang kepada saya untuk menjadi lebih baik.

"Saya juga terharu apabila ada penyokong yang sanggup menamakan anaknya sempena nama saya," jelasnya.

Menurutnya, dia juga selesa dengan kehidupan masyarakat tempatan dan kemudahan untuk beribadat di negara ini khususnya Kedah berbanding di Vietnam sebelum diterbangkan ke Alor Setar.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu ini, Krasniqi berkata, pemain Kedah mempunyai misi tersendiri untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini selepas kecewa pada tahun lalu.

"Saya sendiri juga mahukan kemenangan untuk menebus kembali kekalahan kami pada final musim lalu. Inilah peluang yang perlu kami guna sebaik mungkin.

"Doa dan sokongan penyokong akan bersama kami dalam perlawanan ini," ujarnya.

Kedah, PDRM, Kosovo

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain