suria

Piala Malaysia: Bang Seung Hwan Sedia Jadi 'Tembok' Kedah

TONGGAK pertahanan Kedah, Bang Seung Hwan kini berada dalam keadaan bersedia untuk menjadi 'tembok' skuadnya yang akan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Melaka pada Sabtu ini.

Pemain import dari Korea Selatan itu mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada babak kedua separuh akhir pertama di Alor Setar selain direhatkan untuk sementara waktu.

Bagaimanapun dia mengakui telah pulih daripada kecederaan paha dan sedia untuk kembali membantu Kedah melangkah ke final Piala Malaysia musim ini.

"Saya bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan PDRM. Kecederaan paha saya telah pulih dan tidak akan mengganggu aksi dalam perlawanan itu nanti.

"Dalam perlawanan sebelum ini kecederaan ini masih belum pulih dan ia membataskan pergerakan saya untuk bermain dengan lebih baik sehingga perlu dikeluarkan.

"Tetapi sekarang saya sudah bersedia. Jika dibenarkan bermain, saya akan lakukan yang terbaik untuk sekali lagi ke final," katanya kepada mStar Online.

Pemain berusia 33 tahun yang berkebolehan beraksi sebagai penyerang itu menambah, walaupun tidak dapat berjuang sehingga minit akhir dalam perlawanan sebelum ini namun dia gembira melihat kematangan yang dipamerkan Syawal Nordin sebagai penggantinya.

"Saya berjanji untuk memastikan gawang kita dikawal dengan baik tanpa dibolosi lagi. Kami juga yakin Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe pastinya mempunyai percaturan yang terbaik untuk perlawanan kali ini.

"Kami pernah kecewa pada final musim lalu dan kali ini semua pemain tidak rela lagi melalui detik sama dan ingin menjulang piala.

"Gandingan Shane Smeltz dan Thiago Fernandes adalah yang terbaik di bahagian serangan dan ketajaman penyudah mereka akan membantu Kedah mendapatkan jaringan dalam perlawanan tersebut," ujar Seung Hwan.

Menurutnya, keseimbangan antara pemain muda dan senior dalam pasukan Kedah dijangka merancakkan lagi permainan itu nanti.

Kedah, PDRM, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain