suria

ARRC: Izzat Zaidi Bersaing Dalam Dua Kategori Di India

KUALA LUMPUR: Mohd Izzat Zaidi menggalas tugas besar apabila bakal beraksi dalam dua kategori dalam saingan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi, India, 30 September hingga 2 Oktober ini.

Selain turun bagi mengejar gelaran keseluruhan Underbone 130cc, Izzat yang kini menghuni tangga ketiga keseluruhan turut akan beraksi dalam kategori Asia Production 250cc menggantikan Tengku Amirul Haffirudin yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan sewaktu Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia di Temerloh, Pahang, Ahad lepas.

Dalam surat yang ditujukan kepada Pengarah Perlumbaan ARRC, pemilik pasukan YY Pang, Pang Yoke You menjelaskan: "Tengku Amirul mengalami kecederaan sewaktu perlumbaan Cub Prix minggu lepas. Dia mengalami patah jari tangan kanan dan telah selesai menjalani pembedahan di Hospital Tung Shin. Malangnya dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk pulih dan tidak dapat beraksi di India," jelasnya.

"Sukar untuk mencari pengganti dalam tempoh yang singkat dan masa juga tidak mencukupi untuk memohon visa ke India. Jadi Izzat akan menggalas tanggungjawab untuk beraksi dalam dua kategori minggu ini."

"Dari sudut positif, beraksi dalam perlumbaan 250cc merupakan pendedahan yang baik kepada Izzat memandangkan saingannya sangat kompetitif. Kami yakin Izzat mempunyai kecergasan fizikal yang cukup untuk mengendalikan jentera dalam kedua-dua kategori perlumbaan," simpul YY Pang.

ARRC, Mohd Izzat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain