suria

Futsal AFF: Chun Yong Sasar Aksi Separuh Akhir

PETALING JAYA: Selepas hampir enam bulan tanpa sebarang aksi tempatan mahupun antarabangsa, skuad futsal lelaki kebangsaan kembali berkumpul bersama ketua jurulatih baharu, Chiew Chun Yong.

Chun Yung yang sebelum ini menguruskan skuad futsal wanita kebangsaan dilantik secara rasmi membimbing skuad lelaki bagi menggantikan Pengarah Teknikal Futsal kebangsaan dari Brazil, Marcelo Serpa Coelho.

Menurut Chun Yung, pada sesi pertama latihan yang diadakan pada Selasa, seramai 20 pemain dipanggil pada sesi awal ini.

"Dengan tempoh yang singkat untuk persediaan menghadapi Piala AFF Futsal Oktober ini, saya perlu memilih kaedah yang terbaik untuk memantapkan pasukan ini.

"Hari pertama latihan saya lihat fizikal pemain-pemain kelihatan perlahan kerana agak lama berehat memandangkan tidak ada perlawanan kompetitif sejak Februari lalu.

"Situasi ini memang dijangkakan. Selepas ini mereka akan didedahkan dengan latihan strategi dan praktikal dengan tempo yang maksimum.

"Apa yang penting pemain-pemain perlu bersedia dari segi mental dan boleh menerima apa yang diajar," jelas jurulatih berusia 43 tahun ini.

Dalam pada itu, Chun Yong mendedahkan seramai 16 pemain yang akan dipilih bagi menghadapi cabaran di Thailand nanti.

"Senarai pemain-pemain yang dipanggil ini akan berubah-ubah mengikut prestasi dan sikap masing-masing.

"Pada kali ini seramai 12 orang pemain baharu dipanggil, dan tujuh daripada mereka adalah pemain muda.

"Setakat ini saya juga belum pilih siapa yang bakal bergelar kapten pasukan dan sudah dia seorang pemain senior yang berpengalaman dan mempunyai prestasi yang baik.

"Untuk aksi di Bangkok nanti, saya berharap skuad ini akan mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir," tambahnya.

Sebagai rekod, Chun Yong sebelum ini berjaya membawa skuad wanita menguasai tangga keempat pada  Kejuaraan Futsal AFC 2015 yang berlangsung di Nilai.

Selain itu, Malaysia diundi  berada dalam kumpulan B bersama Indonesia, Singapura, Myanmar dan Laos pada aksi di Bangkok pada 30 Oktober hingga 6 November ini.

Manakala juara bertahan tuan rumah berada bersama Vietnam, Timor Leste dan Brunei bagi Kumpulan A.

Malaysia pernah menjadi naib juara pada tahun 2010 manakala aksi tahun lalu tewas dalam saingan separuh akhir dan meraih tempat ketiga dengan menundukkan Vietnam 6-5.

Piala AFF, Chiew Chun Yong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain