suria

Chong Wei Intai Gelaran Terbuka Jepun Kali Keenam

SHAH ALAM: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengintai gelaran juara buat kali keenam pada Kejohanan Siri Super Terbuka Jepun yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 25 September ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata walaupun sibuk dengan pelbagai majlis penghargaan pemenang pingat Sukan Olimpik sejak kebelakangan ini, beliau tetap fokus mempersiapkan diri menghadapi kejohanan tersebut.

"Untuk saya kejohanan ini cukup penting...kita perlahankan sedikit latihan intensif selepas menghadapi beberapa kejohanan besar termasuk Sukan Olimpik Rio. Kita sertai sesuatu kejohanan bukan mahu berseronok tetapi sebaliknya beri persembahan terbaik, lebih-lebih lagi kejohanan ini menawarkan mata ke pusingan akhir Siri di Dubai (Siri Super Akhir Dunia Dubai) iaitu hanya lapan pemain terbaik layak beraksi," katanya.

Chong Wei berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sebuah kereta Proton Perdana 2.4L pada majlis penghargaan pemenang pingat Sukan Olimpik Rio di Pusat Kecemerlangan Proton, di sini,Rabu.

Untuk rekod, Chong Wei pernah memenangi Terbuka Jepun sebanyak lima kali iaitu pada 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.

Mengulas mengenai ganjaran itu, Chong Wei menyifatkan ia sebagai satu motivasi terbaik untuk pemain muda negara meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang dipamerkan pemain senior di pentas badminton antarabangsa.

"Kita memang tidak sangka akan diberi penghargaan begitu banyak daripada pelbagai pihak dan kita amat menghargai ganjaran yang diberikan bukan sahaja kepada saya tetapi pemenang pingat yang lain," katanya.

Berbeza pula dengan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang mengambil keputusan untuk berehat daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga penghujung tahun ini selepas menyertai Sukan Olimpik Rio.

Olahragawati Kebangsaan 2015 itu mengakui beliau perlu fokus kepada pengajiannya di Universiti Malaya selain mengambil peluang cuti rehat itu untuk memulihkan kecederaan yang dialaminya.

"Rakan sepasukan saya akan pergi ke China untuk meneruskan latihan selepas ini tetapi saya kekal di negara ini bagi menyambung pengajian saya yang tergendala kerana sibuk menjalani latihan sebelum ini," kata anak jati Sarawak itu.

Beliau bersama seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong menerima sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium setiap seorang hasil kejayaan memenangi perak dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio. -Bernama

Lee Chong Wei, Terbuka Jepun

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain