suria

Pemain Perlu Utamakan Negara

KUALA LUMPUR: Setiap pemain bola sepak patut berasa bangga apabila dipilih untuk menyarung jersi kebangsaan dan perlu sentiasa mengutamakan negara, kata bekas jurulatih Harimau Malaya Karl-Heinz Weigang. 

Ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Dokumentari Harimau Malaya 1980' pada Jumaat, beliau berkata pemain yang bercita-cita untuk sampai ke puncak, perlu mempunyai keazaman tinggi untuk mewakili negara di peringkat paling tinggi.

"Bermain untuk negara merupakan suatu penghormatan dan seseorang itu akanhanya dipilih sekiranya mencapai kecemerlangan di peringkat kelab. Bermain mewakili negara sepatutnya menjadi impian setiap pemain.

"Kebanyakan pemain tidak benar-benar faham bahawa mereka perlu memberi seratus peratus kepada negara," kata Weigang, yang diberi kepercayaan menjadi jurulatih pasukan Malaysia dari 1979 hingga 1982.

Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, tetapi tidak beraksi padasukan itu kerana menyertai boikot yang diketuai Amerika Syarikat bagi membantah pencerobohan Soviet Union terhadap Afghanistan.

"Saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada pasukan Olimpik Malaysia 1972 sebagai pegawai perhubungan dan pada 1980 sebagai jurulatih. Kami berpeluang menjelajah ke seluruh negara untuk mencari pemain dalam usaha membentuk pasukan terbaik.

"Saya sungguh berbangga dengan pasukan ini kerana saya sering mengingatkan mereka bahawa bukan mudah untuk kekal dalam pasukan yang dibimbing Weigang sebagai jurulatih. Setiap pemain selalu diingatkan tentang perkara yang diharapkan daripadanya dan mereka perlu sanggup berusaha bersungguh-sungguh serta perlu bersedia untuk berkorban demi bola sepak," katanya.

Bekas kapten Harimau Malaya, Datuk Soh Chin Aun, pula menegaskan bahawa walaupun gaya permainan bola sepak sering berubah, tetapi sebagai sebuah pasukan, pemain perlu mengatasi cabaran itu melalui semangat kebersamaan dan memiliki kekuatan mental untuk berjuang demi negara.

"Kami melakar kejayaan pada masa itu (1980) kerana wujudnya perpaduan danperkara ini perlu sentiasa kita ingati. Saya berharap pemain sekarang boleh mempelajari sesuatu daripada apa yang telah kami tinggalkan.

"Pada 1972 dan 1980, senarionya berbeza, bola sepak pada 1980 berlainan daripada pada 1972 kerana corak permainannya lebih pantas, tetapi apa yang membuatkan kami berjaya ialah semua anggota sentiasa bersatu," kata Chin Aun.

Bekas penyerang kebangsaan, James Wong, berkata untuk mencapai hasil yang baik, semangat berpasukan dalam kalangan pemain perlulah sentiasa kukuh, sama seperti yang wujud dalam sesebuah keluarga.

Wong adalah pemain yang menjaringkan gol kemenangan bagi Harimau Malayaketika pasukan itu menentang Korea Selatan pada perlawanan penting di Stadium Merdeka di sini bagi menentukan pasukan yang akan mewakili Asia ke Olimpik Moscow 1980.

Malaysia menang 2-1. Seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Hassan Sani, berkata walaupun Malaysia layak ke Olimpik Moscow, beliau kecewa kerana tidak dapat beraksi pada temasya sukan itu berikutan keputusan Malaysia memboikotnya.

"Setiap kali saya turun beraksi, perkara paling utama dalam minda saya ialah bermain untuk negara. Kami berjuang habis-habisan untuk layak ke Olimpik, tapi malangnya, tidak dapat bermain di sukan itu," katanya. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain