suria

Muhamad Afiq Puas Hati Dapat Perbaiki Catatan Peribadi

Muhamad Afiq Afify Rizan.

KUALA LUMPUR: Biarpun gagal ke peringkat akhir acara 4km ujian masa B lelaki (pursuit), Muhamad Afiq Afify Rizan tetap berpuas hati kerana berjaya memperbaiki catatan masa peribadinya.

Dalam acara yang berlangsung di Rio Olympic Velodrome pada Khamis, Muhammad Afiq, 20, tidak meletakkan sasaran dalam acara ini menyifatkan pencapaian itu sebagai satu peningkatan.

Catatan masa empat minit 51.906 saat (s) yang dicatat di Rio de Janeiro itu lebih pantas daripada catatan masa 4:57.611s yang dicatat semasa Kejohanan Dunia di Itali pada Mac lepas.

"Saya puas hati dengan keputusan hari ini. Nampak banyak peningkatan," kata pelumba yang cacat penglihatan itu, sambil menambah selepas ini beliau akan memberi fokus kepada acara kegemarannya iaitu 1km pada 11 September ini pula.

Beliau yang dibantu 'pilot' Mohd Faizal Mohamed Noh, menamatkan saingan di tempat ke-14 daripada 16 peserta. 

Acara itu dimenangi Steve Bate dari Great Britain.

Sementara itu, dalam acara olahraga yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio, Nasharuddin Mohamad gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400m T20 lelaki dengan catatan masa 51.75s pada saringan pertama.

Catatan masa itu bagaimanapun tidak berjaya mengatasi catatan masa peribadi terbaik beliau iaitu 49.65s.

Di gelanggang ping-pong di Pavilion 3, Riocentro, Mohamad Azwar Bakar tidak memberi laluan mudah kepada pemain ranking ketiga dunia dari Perancis, Mateo Boheas dalam aksi pembukaan Kumpulan C (Kelas 10).

Mohamad Azwar tewas 4-11 dalam set pertama sebelum bangkit memenangi set kedua 11-5, namun Boheas kembali di depan pada set berikutnya dengan 11-9 sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 14-12.  - BERNAMA

Artikel Lain