suria

Shaw Dedah Punca Sebenar Tolak Tawaran Chelsea

MANCHESTER: Bintang pertahanan Manchester United, Luke Shaw mendedahkan punca sebenar dia menolak tawaran Chelsea ketika dibimbing oleh Jose Mourinho pada 2014.

Pada waktu itu, Shaw dikatakan akan menyertai skuad The Blues dari Southampton selepas dia mengakui peminat Chelsea sejak kecil.

Namun sebaliknya berlaku apabila pemain berusia 21 tahun itu memilih untuk menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan 27 juta pound (RM145 juta), sekali gus mengenepikan tawaran lumayan daripada Mourinho.

Shaw mengakui, dia memilih Manchester United kerana mahu lebih banyak bermain memandangkan kekosongan yang ditinggalkan oleh legenda kelab itu, Patrice Evra yang berpindah ke Juventus.

Malah jelasnya, pada ketika itu, Chelsea memiliki ramai pemain pertahanan berkualiti menyebabkan dia mungkin sukar untuk menembusi barisan kesebelasan utama.

"Saya juga tidak pernah fikirkan soal wang pada masa itu walaupun Chelsea memberi tawaran lumayan.

"Apa yang penting bagi saya, peluang untuk bermain dengan lebih kerap dan sebab itu saya memilih Manchester United," katanya seperti dilaporkan portal Independent
pada Khamis.

Kini akhirnya Shaw dan Mourinho dapat bergandingan di skuad Red Devil apabila jurulatih kelahiran Portugal itu menyertai Manchester United pada musim ini.

Shaw juga mendedahkan, Mourinho pernah bergurau tentang kegagalan untuk mendapatkan khidmat dirinya ketika membimbing Chelsea.

"Kami pernah berbicara tentang perkara ini, tetapi dia hanya mampu tergelak apabila mengenangkan keengganan saya menyertai Chelsea pada 2014," ujar Shaw.

Artikel Sebelum

Giggs, Neville Lawat JDT

Artikel Berikut

Artikel Lain