suria

Pandelela Sasar Tamat Pengajian 2018

PETALING JAYA: Selepas kejayaan meraih pingat perak pada  Sukan Olimpik Rio 2016, ratu terjun negara, Pandelela Rinong memutuskan untuk tidak menyertai beberapa kejohanan dalam masa terdekat kerana ingin memberi tumpuan terhadap pengajiannya di Universiti Malaya (UM).

Malah, beliau meletakkan sasaran untuk menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah dalam jurusan Sains Sukan pada 2018.

"Saya nak berehat sekejap, mungkin skip beberapa kejohanan dalam masa terdekat.

"Sebelum ini saya dah berjanji dengan keluarga tak nak ketepikan pelajaran. Jadi lepas fokus Olimpik, sekarang tiba masanya saya tumpu terhadap pelajaran," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian ganjaran kepada pemenang pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik, Rio di sini oleh syarikat telekomunikasi tempatan, XOX Mobile pada Jumaat.

Pada masa sama, Pandelela menafikan keputusan untuk berehat seketika itu dibuat atas faktor kecederaan.

"Bukan isu utama. Saya mahu fokus kepada pelajaran kerana telah sasarkan untuk graduate pada 2018," katanya.

Pandelela berkata beliau juga akan pulang ke Kuching, Sarawak selepas ini memandangkan kesemua atlet terjun negara diberi cuti rehat selama 10 hari.

"Saya baharu sahaja habis peperiksaan hari ini. Esok saya akan jumpa pensyarah untuk berbincang mengenai pelajaran saya.

"Selepas itu saya akan balik ke kampung di Kuching untuk meluangkan masa dengan keluarga sebelum kembali memulakan latihan," katanya.

Terdahulu, Pandelela menerima ganjaran sebanyak RM60,000 daripada syarikat telekomunikasi tempatan, XOX Mobile di atas pencapaiannya meraih pingat perak dalam acara terjun 10m platform seirama wanita bergandingan dengan Cheong Jun Hoong di Olimpik, Rio.

Turut menerima ganjaran itu adalah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) Chan Peng Soon- Goh Liu Ying (beregu campuran) masing-masing menerima ganjaran sebanyak RM60,000 dan Azizulhasni Awang (basikal) RM25,000.

Pada majlis itu, Chong Wei turut menerima ganjaran sagu hati sebanyak RM50,000 kerana prestasi cemerlangnya dalam membawa jenama syarikat telekomunikasi itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain