suria

Sokongan Rakyat Malaysia Perlu Diteruskan - Bekas Pemain

KUALA LUMPUR: Sokongan berterusan rakyat Malaysia kepada atlet negara perlu diteruskan walaupun kontinjen negara sekali lagi gagal merealisasikan impian pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Impian jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang diletakkan sandaran utama pingat emas bagi menamatkan badi emas Olimpik selepas gagal dua kali sebelum ini, tidak kesampaikan apabila tewas 18-21, 18-21 kepada pemain China, Chen Long di final perseorangan lelaki di Rio pada Sabtu.

Bagi bekas pemain perseorangan negara, Datuk James Selvaraj, beliau tetap bangga dengan semangat yang ditonjolkan pemain nombor satu dunia itu walaupun sekali lagi tewas di tangan pemain China, malam Sabtu.

"Rakyat Malaysia telah membuktikan mereka tidak pernah putus harapan dalam menyokong atlet negara di Sukan Olimpik. Ribuan penyokong membanjiri Dataran Putrajaya untuk menyaksikan perlawanan akhir malam ini.

"Sokongan ini menunjukkan sukan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Semangat ini sangat diperlukan untuk atlet negara terus berjuang demi mengharumkan nama negara," katanya.

James berkata sebagai bekas pemain, beliau mengerti suka-duka yang dilalui atlet seperti Chong Wei yang diletakkan sasaran tertinggi dalam kontinjen negara.

Beliau meminta rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada Chong Wei yang banyak mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

"Hanya orang yang bergelar atlet sahaja faham apa yang dilalui Chong Wei. Beliau telah mengorbankan banyak masa untuk berlatih lebih daripada enam jam sehari demi negara. Chong Wei banyak berjasa kepada negara," katanya.

Bagi bekas jurulatih Chong Wei, Rashid Sidek, beliau berpendapat peluang Chong Wei untuk meraih pingat emas lebih cerah malam ini kerana pemain berasal dari Pulau Pinang itu telah berjaya menyingkirkan musuh tradisinya Lin Dan di separuh akhir.

Mengikut penilaian Rashid, Chong Wei terlalu membuka peluang kepada Chen Long untuk membuat serangan ekoran terbawa-bawa dengan rentak permainan pemain nombor dua dunia itu.

"Kekuatan Chong Wei adalah serangan dan smashing. Dia terlalu ikut rentak Chen Long sehingga pemain China itu selesa dan yakin. Kurang tekanan diberikan sehingga banyak peluang diperoleh lawan untuk mengawal permainan.

"Dari segi kekuatan Lin Dan dan Chen Long ada banyak beza, biasanya aksi Chong Wei lebih bagus daripada Chen Long tetapi hari ini berbeza," kata Rashid yang mengakui Chong Wei telah memberikan aksi terbaik. - BERNAMA

Lee Chong Wei, bekas pemain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain