suria

FAM Nafi Masalah Dalaman Punca Tolak Kongres Fifa

Afandi Hamzah

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  pada Isnin menafikan dakwaan menarik diri daripada menjadi tuan rumah Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2017 berikutan kemelut dalaman yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas akur dengan saranan kerajaan berkaitan soal keselamatan negara.

"Ia tiada kaitan dengan isu dalaman FAM. Kita merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang ia berkaitan faktor keselamatan, jadi FAM dinasihatkan agar menarik diri jadi tuan rumah.

"Setelah terima nasihat dan saranan kita ambil keputusan untuk tarik diri," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM di sini, Isnin.

Jelas Afandi, FAM sebenarnya telah mengemukakan permohonan untuk menarik diri sebagai tuan rumah penganjuran kongres itu kepada Fifa pada 25 Julai lalu.

"Kita sudah bincang dengan presiden mengenai perkara ini kemudian Fifa sahkan keputusan itu. Kita hantar permohonan kepada Fifa menerusi surat rasmi bertarikh 25 Julai lalu," katanya.

Apandi berkata permohonan itu dipersetujui oleh Fifa pada 9 Ogos lalu.

"Kita memang nak maklumkan kepada media mengenai perkara ini pada hari ini tetapi tak sangka ia tersebar lebih awal pula," katanya.

Pada Sabtu lalu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Kongres Fifa 2017 kerana tidak mahu meletakkan negara dalam risiko yang terlalu tinggi terutamanya dalam soal keselamatan dan penglibatan Israel.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan berpegang kepada dasar tidak me­nerima negara yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia, lebih-lebih lagi syaratnya perlu mengibarkan bendera di meja dan di luar tempat persidangan.

"Risiko terlalu tinggi berbanding faedah panganjurannya, maka lebih baik kita mengelak daripada menjadi tuan rumah kepada Kongres Fifa 2017, walaupun sukan untuk semua kita kena faham sensitiviti yang ada di Malaysia," kata Ahmad Zahid.

Fifa, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain