suria

KBS Teliti Kontrak Terbaharu Lim Teong Kim

Khairy Jamaluddin
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini berada dalam proses terakhir untuk memperbaharui kontrak Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata beliau yakin kontrak Teong Kim selama tiga tahun yang akan berakhir hujung Oktober ini akan dapat diperbaharui.

"Kini kita sedang perhalusi kontraknya, ini adalah perkara biasa selepas kontrak itu tamat...mesti ada rundingan semula berdasarkan kepada prestasi, sasaran dan sebagainya.

"Teong Kim telah menyatakan kesediaannya untuk terus bersama dengan NFDP...malah beliau telah maklumkan bahawa mahu bersama NFDP selama lima tahun lagi," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini, Khamis.

Khairy berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Teong Kim dan lebih adil jika beliau diberikan peluang untuk membawa pasukan NFDP sehingga sekurang-kurangnya layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun pada 2019 nanti.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau telah melantik beberapa tenaga pengajar dari Eropah untuk membantu Teong Kim mengendalikan jurulatih dari seluruh negara.

"Beliau akan dibantu oleh pakar-pakar lain dari luar negara. Kita akan umumkan beberapa lantikan baharu sebab kalau hanya harapkan beliau sahaja untuk bantu jurulatih di seluruh Malaysia, ia agak sukar buat beliau," katanya.
Lim Teong Kim, KBS, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain