suria

Dadah: Dua Pemain Liga Super Digantung Dua Tahun

Muhammad Shafiq Jamal.

PETALING JAYA: Nasib dua pemain Liga Super, Muhammad Shafiq Jamal yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pemain Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi yang didapati gagal ujian doping pada 4 Mei lalu akhirnya terjawab apabila digantung selama dua tahun.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan pada Khamis berkata, hukuman terhadap kedua-dua pemain terlibat itu berkuatkuasa pada 9 Jun lalu dan berakhir 8 Jun 2018.

Hasil ujian yang dilakukan selepas perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka oleh Unit Doping Jawatankuasa Perubatan Sukan FAM pada 4 Mei lalu mendapati dua pemain itu positif bahan terlarang methamphetamine.

"Sampel air kencing Muhammad Shafiq dan Muhammad Firdaus telah diambil pada perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan PDRM lawan pasukan Perak di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 4 Mei 2016.

"Mereka didapati positif ujian doping dan didapati bersalah kerana melanggar Artikel 6 Peraturan AFC Anti-Doping 2016  berkenaan Peraturan Anti-Doping.

"Kedua-duanya dilarang melakukan sebarang aktiviti berkaitan bola sepak untuk tempoh dua tahun," demikian menurut kenyataan itu.


FAM, Liga Super, PDRM, Perak, doping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain