suria

Kecederaan Tidak Halang Zhia Yi Buat Terjunan Emas

KUCHING: Kecederaan di jari tangan tidak menghalang atlet terjun kebangsaan, Loh Zhia Yi mempertahankan pingat emas acara platform wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Pusat Akuatik Sarawak, Isnin.

Penerjun Wilayah Persekutuan berusia 19 tahun itu mengumpul 289.55 mata untuk meraih pingat emas kelapannya pada Sukma, selepas memenangi lima emas di edisi 2012 di Pahang serta dua emas semasa edisi Perlis, dua tahun lepas.

Beliau mengalami kecederaan di jari tangan kiri ketika sesi latihan, semalam.

"Saya agak kecewa kerana tidak dapat membuat terjunan lebih baik akibat kecederaan, sebenarnya saya boleh buat lebih baik. Sebelum membuat terjunan, saya hanya letak ais, selepas pulang ke Kuala Lumpur baru akan periksa dengan pegawai perubatan," katanya kepada pemberita.

Zhia Yi seterusnya akan mengambil bahagian dalam acara 3m papan anjal wanita dalam misi menambah pungutan pingat emas pada Rabu ini, iaitu hari terakhir acara terjun dipertandingkan pada Sukma ke-18.

Sementara itu, dua penerjun cilik tuan rumah, Kimberly Bong Ping, 13, dan Eilisha Rania, 11, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Dalam acara 3m papan anjal lelaki seirama, gandingan Sylvester Peter Jawa/Carlyse Chan Wee Cheik dari Sarawak merangkul pingat emas selepas mencatat 352.92 mata.

Pingat perak menjadi milik gandingan Jellson Jabilin-Gabriel Daim dari Sabah yang merekodkan 285.30 mata, manakala Ikhlas-Ahmad S.Lail/Farez Izzudin dari Selangor terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakar 284.70 mata.
Sukma-18, Zhia Yi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain