suria

Liverpool Menang Besar Ke Atas Fleetwood Town

Marko Grujic
LIVERPOOL menang besar dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang Fleetwood Town. The Reds mengalahkan kelab Liga Satu itu dengan gol 5-0.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Highbury, Fleetwood, awal pagi Khamis, Liverpool menurunkan sejumlah pemain baharunya seperti Loris Karius (penjaga gol), Joel Matip, Marko Grujic dan Sadio Mane.

Liverpool yang tampil dominan mendapat peluang keemasan untuk unggul pada minit ke-13 setelah mereka mendapat hadiah penalti. Namun, tendangan yang diambil oleh Danny Ings berjaya diselamatkan Chris Neal.

Empat minit kemudian, Liverpool mendapat gol pertamanya menerusi Grujic. Pemain dari Serbia itu mendapat umpan daripada Alberto Moreno dan menyumbat masuk gol.

Gol Grujic itu menggembirakan pengurus kelab, Juergen Klopp.

"Grujic masih muda. Dia baru 19 tahun, maksudnya secara fizikal dia mampu menunjukkan banyak peningkatan dan tentu saja, peningkatan dalam aspek bola sepaknya," kata Klopp memetik Sportsmole.

"Namun penampilannya sangat OK. Anda dapat melihatnya bertahan bersama dalam segitiga kecil dengan Kevin Stewart yang akhirnya, Stewart melakukan semua kerja keras untuk pasukan," katanya.

"Itu OK. Bukan masalah. Namun mereka harus belajar lagi dan harus berkembang. Mereka semua boleh bermain bola sepak. Itu sesuatu yang menyenangkan. Dia menyumbat gol dalam perlawanan pertamanya, di situasi pertama. Itu adalah sebuah mimpi," katanya,

Masuk babak kedua, Juergen Klopp mengeluarkan semua pemainnya dan memasukkan 11 pemain lain.

Tujuh minit selepas babak kedua bermula, Liverpool menggandakan keunggulannya menerusi pemain berusia 16 tahun, Ben Woodburn.

Gol ketiga Liverpool hadir pada minit ke-69 apabila Lucas Leiva berjaya menyambar umpan Ryan Kent.

Satu minit kemudian, Roberto Firmino mencipta gol keempat Liverpool. Firmino dengan mudah menyumbat bola ke gawang kosong lawan setelah penjaga gol Fleetwood, Alex Cairns, keluar dari sarangnya.

Firmino menambah gol kelima Liverpool pada masa kecederaan.

Ini adalah kemenangan kedua Liverpool dalam perlawanan pra-musim mereka. Sebelum ini mereka menang 1-0 ke atas Tranmere Rovers.

Artikel Lain