suria

Piala Malaysia: Kedah, PDRM Bermula Langkah Kanan

Pemain PDRM Cristopher Keli (merah) membuat percubaan ke arah pintu gol pasukan lawan ketika menentang Perak pada perlawanan TM Piala Malaysia 2016 di Stadium Perak, malam Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Naib juara, Kedah terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 4-3 ke atas Sarawak dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2016 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam Rabu.

Juara empat kali itu membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti pemain import dari Kosovo, Liridon Krasniqi sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-25 melalui penyerang import dari Zambia, Makeche Ndumba yang menyudahkan hantaran pendek Gilmar Jose Da Silva Filho.

Pasukan Bujang Senang kemudian mengejutkan pasukan tuan rumah apabila Nur Shamie Iszuan Amin menjaringkan gol kedua pada minit ke-29, juga menerusi  hantaran Gilmar.

Skuad Lang Merah mendapat satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan  Krasniqi untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir separuh masa pertama apabila kapten Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar mengasari pemain import baharu Kedah dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nasaruddin turut melayangkan kad merah kepada Mohd Hairol, yang menerima kad kuning kedua untuk kesalahan tersebut.

Sarawak sekali lagi berada di hadapan apabila Ndumba menjaringkan gol ketiga Sarawak pada minit ke-48, sebelum Kedah yang banyak menguasai perlawanan, menyamakan kedudukan menerusi Badrol Bakhtiar pada minit ke-57, yang menanduk masuk bola hasil hantaran pendek Thiago Agusto.

Thiago Agusto membuktikan ketajamannya sebagai penyerang dengan menjaringkan gol keempat pasukan Kedah melalui tandukan pada minit ke-65 selepas menerima hantaran daripada Badrol.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan C, Perak gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Perak, Ipoh.

Kesilapan penjaga gawang pasukan tuan rumah, Muhd Hafizul Hakim menjatuhkan Mohd Lot Abu Hassan dalam kotak penalti membawa padah apabila pemain import dari Brazil, Guilherme De Paula Lucrecio menyudahkan sepakan penalti pada minit kelima.

Skuad Seladang berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Albania, Xhevahir Sukaj pada minit ke-21, namun pemain pertahanan dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin menyumbat masuk gol kemenangan pada minit ke-49 untuk PDRM membawa pulang tiga mata berharga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain