suria

Saya Tidak Kecewa - Gomez

Mario Gomez.

JOHOR BARU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez menegaskan tidak kecewa selepas pasukan kendaliannya seri 2-2 menentang PKNS di Stadium Larkin di sini, malam Selasa.

Beliau berkata, keputusan itu sudah dijangkakan selepas anak buahnya diberikan tempoh cuti rehat yang panjang.

"Bukan mudah mempamerkan aksi cemerlang setelah melalui cuti rehat panjang, namun secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan persembahan mereka," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan itu, malam Selasa.

Pada perlawanan itu, gol Harimau Selatan dijaringkan Safee Sali dan Juan Martin Lucero, masing-masing pada minit ke-47 dan 56, sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi jaringan minit ke-81 oleh Gabriel Migruel dan Manuel Corbelli pada minit ke-89.

Gomez berkata, pemainnya sedikit goyah di separuh masa kedua berikutan ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Aidil Zafuan, Muhammad Fazly Mazlan dan Mohd Amri Yahyah yang tidak diturunkan, sebagai persiapan menentang Kedah dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.

"Perkara normal untuk merehatkan beberapa pemain utama kerana JDT akan kembali mengharungi jadual perlawanan yang padat.

"Tetapi, kita tetap yakin kebolehan pemain simpanan dan sebab itu, tiada masalah untuk menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama," katanya.

Beliau seterusnya berharap JDT dapat menebus kekecewaan itu dengan meraih  tiga mata penuh apabila berdepan Kedah, kelak. - Bernama

Mario Gomez, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain