suria

Messi Gagal Sempurnakan Penalti, Chile Juara Copa America

CHILE mempertahankan kejuaraan Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Argentina menerusi penentuan penalti dalam aksi final Stadium MetLife, Amerika Syarikat pada pagi Isnin.

Kemenangan Chile itu membuatkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi berada dalam keadaan kempunan untuk merangkul kejuaraan besar bersama Argentina.

Lebih malang lagi, penyerang Barcelona itu menjadi punca kekalahan Argentina selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila tendangannya tersasar di atas palang gol.

Perlawanan akhir yang mengimbau kembali final Copa America tahun lalu itu berlanjutan ke penentuan penalti selepas kedudukan terikat 0-0 sehingga masa tambahan.

Pemain Chile, Francisco Silva muncul hero Chile apabila berjaya menyempurnakan sepakan terakhir untuk memastikan skuad La Roja merangkul kejuaraan kedua pada kejohanan bola sepak benua tertua di dunia itu.

Dengan bintang tengah, Artur Vidal kembali daripada penggantungan, Chile mempamer penguasaan dalam perlawanan yang berlangsung agak tegang, di mana kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain pada waktu tambahan.

Pemain Chile meraikan kejuaraan Copa America untuk kedua berturut-turut.

Messi bertindak menyendiri selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti yang akhirnya memberi kemenangan kepada Chile.


Chile, Argentina

Artikel Berikut

Artikel Lain