suria

Malaysia Mampu Anjur Sukan Sea, APG Serentak - KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzam Zairani Mohd Isa (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

PUTRAJAYA: Malaysia mampu menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean (APG) 2017 jika ia diadakan serentak, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana, Malaysia sudah bersedia daripada pelbagai aspek termasuk kemudahan logistik, venue pertandingan, pemilihan jadual, pegawai teknikal dan kemudahan pengangkutan.

Bagaimanapun, Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-29 (MASOC), berkata keputusan berhubung penganjuran secara serentak dua acara terbesar di Asia Tenggara itu hanya dapat dimuktamadkan pada bulan depan.

"Kita masih lagi menunggu keputusan Persekutuan Sukan SEA dan Persekutuan Sukan Para Asean.

"Kita telah membentangkan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah untuk menggabungkan kedua-dua temasya ini dengan dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017.

Kita harap dapat maklum balas positif daripada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara MASOC dan Telekom Malaysia Berhada (TM) selaku Penaja Platinum Kuala Lumpur 2017 di sini, Khamis.

Sementara itu, Khairy berkata venue pertandingan bagi kedua-dua temasya itu, yang dijangka diadakan dari 19 hingga 31 Ogos, akan dimuktamadkan sebaik senarai akhir acara pertandingan diketahui.

Menurutnya dari segi persediaan, venue pertandingan tidak mempunyai sebarang masalah.

"Saya telah maklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa mereka boleh umumkan senarai muktamad sukan dan acara yang akan dipertandingkan pada hujung minggu depan.

"Apabila senarai sukan telah diumumkan, kita boleh muktamadkan venue pertandingan yang di luar daripada venue sukan di sekitar Bukit Jalil," katanya.

Pada majlis menandatangani perjanjian penajaan itu, TM muncul selaku Penaja Platinum dengan jumlah tajaan sehingga RM15 juta iaitu RM3 juta dalam bentuk tunai dan RM12 juta untuk penyediaan perkhidmatan berkaitan jalur lebar dan telekomunikasi.

"Dengan penajaan ini, kita dapat mengurangkan sebahagian besar daripada kos penganjuran bagi menyediakan infrastruktur komunikasi dan telekomunikasi serta kemudahan jalur lebar, yang akan menjadi tulang belakang kepada penganjuran temasya ini," katanya.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC Datuk Seri Zolkples Embong.

"Saya yakin dengan pengumuman penajaan ini, pihak MASOC akan dapat menarik lebih banyak lagi penajaan daripada syarikat swasta tempatan dan antarabangsa. Dalam beberapa minggu lagi, akan dibuat pengumuman mengenai penaja yang memukmatamadkan penajaan mereka," katanya.

Khairy berkata TM mempunyai sejarah gemilang dalam memberi sokongan kepada program pembangunan sukan di Malaysia.

Pihak swasta yang berminat menjadi rakan penaja Kuala Lumpur 2017 mempunyai empat kategori penajaan iaitu Rakan Penaja Platinum (RM7.5 juta hingga RM15 juta), Rakan Penaja Emas (RM3-RM7.5 juta), Rakan Penaja Perak (RM1-3 juta) dan Rakan Penaja Gangsa (sehingga RM1 juta).

Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain