suria

Argentina Mampu raih Gelaran Ke-15 Copa America

KUALA LUMPUR: Juara 14 kali Copa America, Argentina mempunyai peluang yang sangat baik untuk merampas semula kejuaraan tersebut kerana barisan pemain mahu membuktikan sesuatu sebelum bersara.

Duta Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas berkata skuad Amerika Selatan itu memiliki beberapa pemain hebat pada masa ini, seperti Lionel Messi, Sergio Aguero, Gonzalo Higuain, Angel Di Maria dan Javier Mascherano, yang mahu meraih gelaran tersebut buat pasukan kebangsaan mereka.

"Pasukan ini sentiasa mara ke perlawanan akhir dan tewas...Mereka kalah final Piala Dunia (2014) kepada Jerman, dan tahun berikutnya tumpas kepada Chile pada kejohanan Copa America, jadi semua pemain mahu meraih sesuatu sebelum mereka menamatkan karier masing-masing.

"Mereka antara pemain terbaik dunia dan pernah memenangi pelbagai gelaran dengan kelab masing-masing, tetapi sebagai pemain pasukan kebangsaan, mereka tidak meraih apa-apa kejuaraan. Jadi, mereka sangat bersemangat untuk memanfaatkan peluang kali ini," katanya.

Juara dua kali Piala Dunia itu, sebelum ini terlepas peluang menjulang kejuaraan tersebut pada 2014 apabila tumpas 0-1 kepada Jerman selepas masa tambahan di hadapan kira-kira 74,000 penonton di Stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil.

Tahun lepas, mereka terlepas peluang merampas semula kejuaraan itu selepas 23 tahun apabila tumpas 1-4 kepada tuan rumah, Chile dalam penentuan sepakan penalti final Copa America, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 setelah tamat permainan sebenar.

Pasukan Argentina hanya kekurangan satu gelaran untuk menyamai rekod Uruguay menjuarai kejohanan berkenaan selama 15 kali.

Selain itu, Salas berharap anak buah Gerardo Martino itu dapat merangkul gelaran itu berikutan beberapa pasukan terbaik Amerika Selatan seperti Brazil, Paraguay dan Uruguay menampilkan aksi mengecewakan apabila tersingkir di pusingan awal kejohanan edisi ke-100 itu yang berlangsung di Amerika Syarikat.

"Saya berharap mereka dapat memanfaatkan peluang kali ini. Bagaimanapun, apa-apa boleh berlaku dalam tempoh 90 minit permainan," katanya.

Argentina, pasukan nombor satu dunia, memulakan kempen pada kejohanan berkenaan dengan menewaskan juara bertahan Chile 2-1, membelasah Panama 5-0 dan menumpaskan Bolivia 3-0 untuk mendahului Kumpulan D.

Pasukan dengan jolokan 'Los Gauchos' (The Cowboys) itu akan berdepan pasukan di ranking ke-74 dunia, Venezuela di suku akhir yang akan berlangsung pada 7 pagi (waktu Malaysia), esok.

Pemenang perlawanan itu akan menentang Amerika Syarikat di separuh akhir, selepas pasukan tuan rumah itu menang tipis 2-1 ke atas Ecuador dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pada satu lagi saingan separuh akhir, Colombia akan berdepan pemenang perlawanan antara Mexico menentang Chile.

Kejohanan itu disertai 16 pasukan dan berlangsung di luar Amerika Selatan buat pertama kali, menampilkan 10 pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) dan enam pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Amerika Tengah dan Utara serta Caribbean (Concacaf).

Selain dua kali menjuarai Piala Dunia (1978 dan 1986) serta 14 kali gelaran Copa America, Argentina juga meraih pingat emas pada dua temasya Olimpik (2004 dan 2008) serta enam pingat emas Pan American. 

Argentina

Artikel Lain