suria

Tiga Aksi Persahabatan Peluang Perbaiki Ranking Fifa - FAM

Skuad Harimau Malaysia berlepas ke Brisbane, Australia Sabtu malam.-Bernama

PETALING JAYA: Tiga aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' Jelajah Oceania, bermula minggu depan menjadi medan terbaik untuk Skuad Harimau Malaysia memperbaiki kedudukan bola sepak negara yang kini berada pada posisi 173 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi bulan Jun

Timbalan Presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad menjelaskan jelajah berkenaan merupakan peluang terbaik untuk Ketua Jurulatih skuad itu, Datuk Ong Kim Swee bagi memperkemas corak permainan dan persefahaman dalam kalangan 24 pemain yang terpilih.

Beliau berkata demikian pada sidang media bulanan skuad kebangsaan bagi bulan Jun, sebelum majlis berbuka puasa media bersama Anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM dan skuad Harimau Malaysia di sebuah pada Sabtu malam.

Berkongsi pandangan sama adalah Kim Swee yang menyifatkan jelajah berkenaan penting untuknya dalam membentuk satu pasukan yang mantap kerana pemain terlibat hanya akan kembali dikumpulkan awal November ini selepas berakhirnya saingan Liga Malaysia.

"Kita perlu capai sasaran kita pada jelajah ini dengan mencapai keputusan yang positif selain mendapatkan pasukan kuat.(Walau bagaimanapun), bagi saya,ketiga-tiga perlawanan ini bukan satu perlawanan yang mudah.

"Kita tahu kedudukan negara Oceania ini amat jauh antara satu sama lain. Jika mereka bermain banyak perlawanan, saya percaya ranking mereka akan lebih tinggi," kata Kim Swee.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan skuad negara akan beraksi dalam empat aksi persahabatan iaitu dua perlawanan masing-masing pada bulan September dan Oktober yang termasuk dalam kalendar Fifa. 

"Kita dijangka beraksi menentang Singapura, Thailand dan Indonesia di tempatlawan serta Afghanistan di laman sendiri tapi kesemuanya bergantung kepada keputusan Kim Swee.

"Hal ini kerana kita berkemungkinan besar akan berjumpa dengan tiga pasukan berkenaan (Singapura, Thailand dan Indonesia) pada (Kejohanan Bola Sepak) Piala AFF (Disember) nanti," katanya.

Skuad Harimau Malaysia berlepas ke Brisbane, Australia lewat Sabtu malam dan mereka bakal beraksi dalam tiga perlawanan iaitu menentang Papua New Guinea di Stadium Sir John Guise, Papua New Guinea pada 17 Jun ini.

Ia disusuli pertemuan dengan New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta pada 22 Jun sebelum menentang Fiji di Stadium Prince Charles Park, Fiji pada 26 Jun.

Senarai 24 Pemain:

Penjaga Gol: Izham Tarmizi Roslan (Johor Darul Ta'zim/JDT); Mohd Farhan Abu Bakar (Kedah); Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan: Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Shas, Junior Eldstal, S. Kunanlan, Muhammad Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli (JDT); Muhd Shahrom Abdul Kalam (Selangor); Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United)

Pemain Tengah: S. Chanturu, Mohd Amri Yahyah (JDT); Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor); Baddrol Bakhtiar, Muhamad Amirul Hisyam Awang Kechik, Ahmad Fakri Saarani (Kedah); Brendan Gan (Kelantan); D. Christie Jayaseelan (Felda United); Abdul Latiff Suhaimi (PDRM)

Penyerang: Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (JDT II); Mohd Amirulhadi Zainal (JDT); Ahmad Hazwan Bakri (Selangor); S. Kumaahran (Pulau Pinang). -Bernama

Harimau Malaysia

Artikel Lain