suria

Peluang Ke Final Masih Terbuka Luas - Mohd Fahmy

PETALING JAYA: Di atas kertas pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat berpeluang cerah untuk melangkah ke aksi separuh akhir sekali gus mengulangi kejayaan pada saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun lalu berbekalkan status selaku juara bertahan.

Namun, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya menganggap peluang kelapan-lapan pasukan yang bertanding pada pusingan suku akhir itu untuk  meneruskan kemaraan ke pentas final masih terbuka luas.

"Kita harap tuah di Larkin, jika ada rezeki kita akan lakukan yang terbaik. Namun mara ke final bergantung kepada nasib.

"Semua layak pergi ke final tapi kita akan tengok macam mana nanti, sekiranya ada rezeki adalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi undian untuk kejohanan tersebut di sini petang Khamis.

Pada masa sama Mohd Fahmy menyifatkan undian peringkat suku akhir Piala AFC 2016 pada Khamis sebagai seimbang.

"Undian secara keseluruhannya seimbang. Jadi kita harapkan persembahan terbaik tahun ni. Kita tak menjangka atau harapkan trofi tapi kita akan buat persembahan cemerlang," katanya.

Meskipun penyokong meletakkan harapan tinggi terhadap JDT, Mohd Fahmy berkata, apa sahaja boleh berlaku, justeru pasukan itu enggan memandang remeh mana-mana pasukan.

"Macam-macam boleh berlaku dalam bola sepak cuma saya harapkan pasukan akan capai kecemerlangan lebih baik tahun ini," katanya.

Walaupun format undian pasukan pada tahun ini agak berbeza, Mohd Fahmy percaya JDT mampu mengharungi setiap perlawanan.

"Seperti tahun lepas saya tak menyaksikan satu keberatan. Insya-Allah saya rasa kami mampu membawa nama JDT dan Malaysia ke kedudukan lebih tinggi tahun ini," katanya.

JDT diundi bertemu South China, kelab dari Hong Kong pada aksi suku akhir, 13 September ini sekali gus mengulangi pertembungan pada peringkat sama tahun lalu.

Selepas itu, pasukan JDT akan melayan kunjungan South China di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baru pada aksi timbal balik, 20 September ini.


JDT, Piala AFC

Artikel Lain