suria

Wartawan Sukan Veteran Imbas Detik Kunjungan Muhammad Ali Ke KL

KUALA LUMPUR: Wartawan sukan veteran, George Das mengenang lagenda tinju dunia, Muhammad Ali sebagai seorang ahli sukan yang mesra dan suka mengawal keadaan dalam sidang medianya.

Mengimbas kembali detik semasa membuat liputan ketika kunjungan Ali ke Malaysia pada Jun 1975 bagi pertarungan dengan jaguh Eropah, Joe Bugner, wartawan berusia 69 tahun itu berkata petinju lagenda itu tanpa ragu-ragu adalah atlet paling hebat pada abad ini.

George, yang bertugas dengan akhbar berbahasa Inggeris, The Star ketika itu, menyifatkan Ali sebagai 'juara rakyat' kerana hubungan rapat dengan peminatnya dan seorang insan yang mudah beramah mesra dengan mereka.

"Saya fikir tidak ada sesiapa pun boleh menandingi personaliti dan profesionalismenya sebagai atlet dan lebih daripada itu sebagai seorang insan.


Beliau ada seorang ahli sukan yang mengagnumkan dan atlet dengan gaya aksi yang hebat," katanya kepada Bernama.

Digelar 'The Greatest' (Paling Hebat), Ali, 74, meninggal dunia di sebuah hospital di Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat kerana masalah pernafasan selepas bertarung selama 32 tahun dengan penyakit Parkinson.

Mengulas lanjut, George berkata semasa kunjungan lebih sebulan di negara ini, bekas pemenang pingat emas light heavyweight pada Sukan Olimpik Rome 1960 itu tidak pernah gagal menarik perhatian penulis sukan yang membuat liputan pertarungan itu.

"Kadang-kadang tidak perlu tanya soalan kerana Ali akan tampil dengan semua hal...Beliau begitu pantas dengan kata-kata dan menyebutnya dengan amat jelas," katanya sambil menambah petinju tersohor dunia itu juga boleh mendaklamasikan puisi.

"Biasanya pada sidang media, pengurus akan banyak bercakap tetapi tidak dengan Ali. Beliau akan menguasai sidang media dan membawa kerseronokan pada majlis itu," katanya.

Ali, katanya, juga menanam sebuah pokok rambutan di kawasan Masjid Negara di samping bergaul mesra dengan orang-orang kenamaan pada acara itu.

George mengimbas kembali pertarungan di Stadium Merdeka yang disifatkan sebagai pertarungan menakjubkan dengan rakyat Malaysia yang membanjiri stadium dapat melihat aksi hebat beliau dalam gelanggang.

Seorang lagi bekas wartawan sukan, A. Subramaniam, 58, melahirkan rasa sedih  dengan pemergian tokoh sukan itu, sambil berkata petinju dunia itu telah meninggalkan kesan mendalam kepada banyak rakyat Malaysia.

"Ketika itu, saya seorang pelajar berusia 17 tahun. Saya masih ingat ketika pertarungan itu, semua jalan di Kuala Lumpur lengang kerana orang ramai berkunjung ke stadium dan juga menyaksikan pertarungan di kaca televisyen

"Suasana seperti itu tidak pernah berlaku atau dirasai sebelum itu," katanya.

Ali dilahirkan sebagai Cassius Marcellus Clay Jr di Louisville, Kentucky pada 17 jan 1942 dan kemudian menukar namanya sebaik memeluk agama Islam pada 1964.

Beliau dikenang, antara lain, bantahannya terhadap perang Amerika Syarikat di Vietnam selain kepantasan melakukan tumbukan antara kemahiran sehingga mendorong beliau mendapat ungkapan menarik 'float like a butterfly, sting like a bee'(Terapung-papung seperti rama-rama, menyengat seperti lebah).

Dalam pertarungan sebanyak 98 perlawanan sepanjang karier selama 32 tahun, Ali telah memenangi 56 perlawanan, 37 kemenangan KO dan kalah lima kali.

Artikel Lain