suria

Chong Wei Pembawa Jalur Gemilang Di Sukan Olimpik Rio

Datuk Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 5 hingga 21 Ogos ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah MOM di sini Khamis.

"Chong Wei berhak dipilih sebagai pembawa bendera untuk kontinjen negara.Beliau adalah seorang ikon dalam sukan Malaysia untuk tempoh yang lama...dengan memberi penghormatan itu, ia akan memberi motivasi kepadanya.

"Beliau pernah menghadiahkan pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik sebelum ini. Biar kami harap beliau akan menang pingat emas di Rio," katanya.

Pada temasya Olimpik London, empat tahun lepas, ratu terjun Pandelela Rinong Pamg telah diberi mandat sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pula menyifatkan pemilihan Chong Wei itu sebagai tepat pada masanya.

Pengumuman itu menjadikan Chong Wei sebagai atlet kedua daripada sukan badminton yang diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang selepas Razif Sidek pada Olimpik 1992 di Barcelona.

"Lagipun Sukan Olimpik kali ini adalah yang terakhir bagi Chong Wei. Selain daripada pemilihan Chong Wei, Sukan Olimpik kali ini juga amat bermakna kepada sukan badminton kerana kita melayakkan diri dalam lima acara," kata Mohamad Norza, yang juga Timbalan Presiden MOM.

Dalam acara badminton, selain Chong Wei, turut melayakan diri ke Sukan Olimpik kali ini ialah beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perseorangan wanita Tee Jing Yi dan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Setakat ini, 22 atlet termasuk dari sukan badminton telah melayakkan diri secara merit.

Atlet-atlet lain ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah); Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal) serta Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela dan Ng Yan Yee (terjun).

Turut tersenarai Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Latiff (pelayaran); Jonathan Wong Guanjie (menembak); Welson Sim (renang); Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).

Artikel Lain