suria

Tiada Rombakan Dalam Pasukan P.Pinang - Hodak

Bojan Hodak.

GEORGE TOWN: Barisan kejurulatihan baharu pasukan bola sepak Pulau Pinang tidak bercadang merombak skuad Harimau Kumbang itu yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu pasukan berkenaan, Bojan Hodak berkata pasukan itu akan menggunakan sebaik mungkin barisan pemain sedia ada bagi menghadapi baki perlawanan dalam liga berkenaan.

"Kita tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk merombak pasukan atau menukar pemain buat masa ini," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan pertama pasukan itu bersama pengurusan baharu.

Hodak berkata beliau akan memantau secara dekat perkembangan pasukan itu yang kini di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih Nenad Bacina.

"Ini ialah latihan pertama pasukan ini di bawah jurulatih baharu dan ia diadakan untuk menyesuaikan pemain dengan corak pengendalian pengurusan baharu," katanya.

Mengenai isu penggantungan ketua jurulatih Jacksen Tiago, Hodak berkata pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah bertemu dengan Tiago minggu lepas, tetapi tiada sebarang kata putus dicapai setakat ini.

Berbaki 10 perlawanan, Pulau Pinang sedang berusaha keras untuk mengelakkan diri daripada tersingkir dalam saingan Liga Super.

Pulau Pinang akan bertemu T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 16 Julai ini. - BERNAMA

Pulau Pinang, Bojan Hodak, Liga Super

Artikel Lain