suria

Malaysia Sekadar Seri Tanpa Jaringan Dengan Myanmar

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR: Malaysia memperagakan aksi longlai selepas hanya mampu seri tanpa jaringan menentang barisan muda Myanmar pada perlawanan persahabatan di Stadium Thuwunna, Yangon, Sabtu malam.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar, anak didik Datuk Ong Kim Swee ternyata gagal memperkemaskan usaha di semua posisi sehingga sukar untuk menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

Kehilangan idea untuk membuka peluang di barisan hadapan serta asakan pasukan tuan rumah yang kebanyakannya terdiri daripada pemain bawah 23 tahun itu menyebabkan skuad negara buntu untuk mencari gol.

Sebaliknya, benteng pertahanan negara diketuai kapten pasukan, Aidil Zaquan Abdul Radzak terpaksa menyerap asakan bertali arus jentera serangan Myanmar sehingga memaksa penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan keluar bagi menepis beberapa percubaan berbahaya pasukan tuan rumah.

Myanmar berjaya berada di hadapan menerusi jaringan pemain gantian, Than Paing pada minit ke-56 namun ia tidak disahkan pengadil, Sivakorn Pu-Udom dari Thailand kerana pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid.

Skuad Harimau Malaysia akan pulang pada Ahad sebelum ke Johor Baharu bagi menghadapi Timor Leste pada dua aksi playoff Piala Asia 2019 pada 2 dan 6 Jun ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. -Bernama

Myanmar, Seri, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain