suria

MTBC Hantar Muka Lama, Baharu Ke Kejohanan Boling Remaja Dunia

Muhd Rafiq Ismail.

KUALA LUMPUR: Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) akan menghantar gandingan pemain berpengalaman dan muka baharu ke Kejohanan Boling Remaja Dunia ke-14 yang akan berlangsung di Sun Valley Lanes, Nebraska, Amerika Syarikat dari 24 Julai hingga 3 Ogos ini.

Naib juara kebangsaan lelaki 2016, Muhd Rafiq Ismail dan juara wanita kebangsaan, Natasha Roslan, akan mengetuai cabaran Malaysia dalam kategori lelaki dan wanita ke kejohanan itu, kata MTBC dalam kenyataan pada Khamis.

Tiga lagi pemain lelaki ialah Qalif Adnor Adam, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim dan Wan Nadzni Fikri Mohd Faisal, manakala pemain wanita ialah Victoria Chin, Nora Lyana Nastasia Norkamal dan Nur Syazwani Sahar.

Kecuali Muhd Rafiq dan Chin, yang menyertai pertandingan pada 2014 di Hong Kong, enam yang lain adalah muka baharu.

Untuk rekod, Malaysia mendapat pingat perak dalam acara berpasukan lelaki, Muhd Rafiq menduduki tempat keempat dalam acara Perseorangan Keseluruhan Pusingan Lelaki, manakala Chin hanya mampu beraksi pada pusingan awal. - BERNAMA

Artikel Lain