suria

Piala Malaysia: Peluang Seimbang Untuk Semua Pasukan

PETALING JAYA: Saingan Piala Malaysia sentiasa menampilkan kejutan dan setiap pasukan berpeluang merangkul piala berprestij itu, kata penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

"Cuma jenis taktikal yang akan digunakan dan tahap kecergasan pemain yang akan menentukan kejayaan sesebuah pasukan," kata bekas pemain kebangsaan itu kepada Bernama selepas majlis undian Piala Malaysia 2016 di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Isnin malam.

Mengenai peluang pasukannya, Mohd Zaquan yakin skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora mampu memberikan cabaran kepada tiga pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC II, Sarawak dan finalis musim lepas, Kedah.

"Bagi saya, berhadapan dengan tiga pasukan Liga Super ini agak sukar namun dalam Piala Malaysia, apa sahaja boleh berlaku tapi saya berharap rakan sepasukan dapat memberikan persembahan terbaik," jelas anak jati Negeri Sembilan itu.

Berkongsi pandangan sama, kapten Perak, Mohd Nasir Basharuddin yang melihat pasukan 'The Bos Gaurus' mempunyai peluang seimbang untuk mara ke suku akhir walaupun berdepan juara bertahan Liga Super iaitu JDT, finalis Piala FA 2015 PKNS FC serta Polis Diraja Malaysia dalam kumpulan C.

"Bagi saya, JDT dan PKNS adalah dua pasukan yang agak kuat dalam kumpulan ini tapi saya yakin, rakan sepasukan mampu bagi saingan kepada kedua-dua pasukan ini," jelas Mohd Nasir sambil mengakui kekuatan JDT dan PKNS FC terletak pada ketajaman jentera serangan mereka yang diketuai pemain import.

Format baharu Piala Malaysia yang diperkenalkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bermula tahun ini, menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana, selepas berakhir 11 perlawanan liga masing-masing, layak beraksi ke Piala Malaysia.

FMLLP merupakan sebuah entiti swasta yang mengendalikan Liga Malaysia bermula musim ini.

Setiap pasukan akan bermain secara liga dua pusingan - tiga perlawanan selaku tuan rumah dan tiga perlawanan sebagai pasukan pelawat dalam saingan Piala Malaysia yang dijangka bermula penghujung Julai nanti.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir Piala Malaysia yang menggunakan format timbal balik.

Artikel Lain