suria

JDT Kembali Pimpin Carta Liga Super

JDT membelasah pasukan bawahan liga, Pahang 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu. Foto Facebook JOHOR Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menerajui carta Liga Super selepas membelasah pasukan bawahan liga, Pahang 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu.

Kemenangan kesembilan daripada 12 perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 30 mata, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Felda United yang seri di laman sendiri.

Jorge Pereyra Diaz muncul wira skuad Harimau Selatan apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-28, 54' dan 76; Juan Martin Lucero (minit ketujuh dan 46' serta gol pemain pertahanan, Marcos Antonio pada minit ke-32.

Felda United pula turun satu anak tangga ke posisi kedua selepas seri 2-2 pada aksi menentang Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Dua gol skuad 'The Fighters' dihasilkan oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit kelapan dan Forkey Doe pada minit ke-80 manakala dua gol Pulau Pinang disumbangkan oleh Reinaldo Rodrigues Oliveira menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan gol padang Osas Marvellous Cordoba pada minit ke-65.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, pasukan Selangor turut mengutip tiga mata selepas menang selesa 5-2 ke atas Kelantan.

Lima gol skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-15, R. Gopinathan (21'), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (35'), Mohd Razman Roslan (49') dan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-88.

Dua gol skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors disumbangkan oleh Blazhe Ilijoski pada minit kesembilan dan Dramane Traore pada minit ke-59.

Terengganu FA kembali mencatat kemenangan setelah menewaskan 'adik' mereka, Terengganu FC II 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Joseph Kalang Tie muncul wira skuad Penyu apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 1-1 dengan Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Terengganu FA di hadapan menerusi gol pembukaan seawal minit keempat perlawanan sebelum Mohd Asrol Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-64. 

Sarawak meneruskan rentak kemenangan di bawah David Usop apabila menang selesa 3-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan oleh Junior Aparecido Guimaro de Souza pada minit ke-32, Ndumba Makeche (65') dan Gilmar Jose Da Silva Filho, selang lima minit kemudian.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Shah Alam.

Gol PDRM dijaringkan oleh Syauki Abdul Wahab pada minit ke-43 manakala Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Liridon Krasniqi pada penghujung perlawanan. - Bernama

JDT

Artikel Lain