suria

Malaysia Mula Kempen Piala Thomas Dengan Langkah Kanan

Lee Chong Wei.

KUNSHAN (China): Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila menewaskan England 4-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C di Pusat Sukan Kunshan, di sini, malam Ahad.

Pemain perseorangan nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya mengambil masa 34 minit untuk memberi mata pertama dengan menyingkirkan Toby Penty dalam straight set 21-15, 21-11.

Beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong menyumbang mata kedua negara apabila mengambil masa 40 minit untuk mengalahkan Marcus Ellis/Chtis Langridge 21-12, 21-17.

Malaysia meneruskan aksi 'pemanas badan' dengan mata ketiga disumbangkan oleh pemain perseorangan Chong Wei Feng yang mengatasi Sam Parsons 21-10, 21-10 dalam masa 34 minit.

Bagaimanapun, beregu veteran Koon Kien Keat/Tan Boon Heong gagal menepati ramalan apabila tewas kepada gandingan Peter Briggs/Tom Wolfenden 18-21, 21-13, 17-21 sebelum Goh Soon Huat menutup tirai pungutan mata dengan mengalahkan Alex Lane 21-15, 19-21, 21-13.

Chong Wei, selaku ketua pasukan, berkata mereka mengambil keputusan untuk merehatkan pemain perseorangan kedua, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sebagai strategi pasukan serta mahu menilai prestasi Wei Feng dan Soon Huat.

"Ini adalah strategi sebelum memutuskan barisan pemain bagi menghadapi perlawanan yang lebih sukar nanti," kata Chong Wei.

Pada ketika ini, kami mahu menang dengan mudah ke atas England dan Jerman sebelum berdepan dengan Korea Selatan...ini semua bagi mencatur barisan pemain pada peringkat suku akhir," katanya.

Malaysia akan berdepan dengan Jerman pada Isnin.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Korea Selatan dengan mudah mengalahkan Jerman 5-0 sebelum menentang England pada Isnin.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Thailand mengatasi India 3-2.

China pula dengan mudah mengalahkan Mexico 5-0 dalam Kumpulan A manakala juara bertahan Jepun turut mencatatkan keputusan sama dengan Perancis dalam kumpulan sama. - BERNAMA


Piala Thomas, Malaysia, langkah kanan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain