suria

Euro 2016: Rashford Dalam Senarai Awal Skuad England

PENGENDALI  England, Roy Hodgson mengumumkan senarai awal 26 orang pemain menjelang aksi Euro 2016 bermula Jun ini.

Pemain muda Manchester United berusia 18 tahun yang tampil buat kali pertama Februari lalu, Marcus Rashford antara lima nama penyerang disenaraikan Hodgson bagi menjalani sesi pemanas badan bertemu Turki, Australia dan Portugal sebelum tirai Euro dibuka di Perancis.

Pemain sayap Andros Townsend yang mempamerkan prestasi cemerlang bersama Newcastle biarpun kelab itu terkeluar daripada saingan Liga Perdana Inggeris musim depan turut menjadi perhatian Hodgson.

Bagi posisi tengah pula, Hodgson telah memanggil Jack Wilshere dan Jordan Henderson yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, pemain sayap Arsenal, Theo Walcott terkeluar tidak terpilih setelah gagal berada dalam skuad utama The Gunners sejak Februari lalu.

Sementara itu pemain senior England Phil Jagielka, Leighton Baines dan Michael Carrick turut terkeluar daripada senarai awal Three Lions ini.

Dalam pada itu, Hodgson percaya dengan kelibat Rashford biarpun pemain remaja itu hanya mencatat rekod 82 hari dalam karier profesionalnya.

“Sudah tentu dia antara salah seorang yang dianggap 'pesaing'. Aksi Euro agak sukar, dan dia akan faham.

"Dia memang layak untuk dipilih berada dalam skuad besar ini. Dan kita akan melihat sesuatu yang menarik dengan apa yang Rashford mampu lakukan dalam tempoh seminggu, tetapi saya yakin dia sudah menamatkan musim ini dengan baik.

“Sesuatu yang baik apabila dia disenaraikan. Tidak ada alasan kenapa dia tidak boleh menyingkirkan pemain lain daripada senarai akhir ini walaupun agak sengit,” jelas Hodgson.

Senarai akhir 23 pemain akan diumumkan pada 31 Mei ini.


Senarai awal pemain England untuk kejohanan Euro 2016:

Penjaga gol: Fraser Forster (Southampton), Joe Hart (Manchester City), Tom Heaton (Burnley)

Pemain pertahanan: Ryan Bertrand (Southampton), Gary Cahill (Chelsea), Nathaniel Clyne (Liverpool), Danny Rose (Tottenham), Chris Smalling (Manchester United), John Stones (Everton), Kyle Walker (Tottenham)

Pemain tengah: Dele Alli (Tottenham), Ross Barkley (Everton), Fabian Delph (Manchester City), Eric Dier (Tottenham), Danny Drinkwater (Leicester City), Jordan Henderson (Liverpool), Adam Lallana (Liverpool), James Milner (Liverpool), Raheem Sterling (Manchester City), Andros Townsend (Newcastle), Jack Wilshere (Arsenal)

Penyerang: Harry Kane (Tottenham), Marcus Rashford (Manchester United), Wayne Rooney (Manchester United), Daniel Sturridge (Liverpool), Jamie Vardy (Leicester City)

England, Marcus Rashford, Roy Hodgson

Artikel Lain