suria

Gol Yasir Hanapi Ranapkan Impian Selangor

KUALA LUMPUR: Gol tunggal Yasir Hanafi memastikan Tampines Rovers menang 1-0 ke atas Selangor, sekali gus merampas slot ke pusingan kedua Piala AFC daripada skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.

Selangor yang memerlukan sekurang-kurangnya seri dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Nasional, Kallang, Singapura, malam ini untuk ke peringkat seterusnya, dikecewakan menerusi gol Yasir pada minit ke-31.

Keputusan itu membolehkan skuad kendalian V. Sundramoorthy, layak ke pusingan kedua selaku naib juara Kumpulan E dengan kutipan 10 mata daripada enam perlawanan manakala Selangor ketiga dengan lapan mata.

Ceres La Salle FC dari Filipina mengesahkan kedudukan mereka selaku juara Kumpulan E dengan 12 mata setelah menang selesa 5-0 ke atas pasukan tercorot, Sheikh Jamal Dhanmondi dari Bangladesh pada aksi di Stadium Panaad, Bacolod City, Filipina.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Zainal kesal dengan pemainnya yang membenarkan tuan rumah menjaringkan gol yang sekali gus meleburkan impian mereka ke pusingan 16 terakhir.

"Kami tewas dengan gol mudah. Pemain cuba mencari jaringan penyamaan tetapi gagal melakukannya.

"Pemain gagal memberi tekanan kepada lawan ketika kedudukan masih terikat. Hanya ketika ketinggalan, baru mereka mula mengasak.

"Apabila pemain gagal melakukan penyudah, ia jelas memberikan lebih tekanan kepada kami," kata Zainal seperti dipetik dalam laman sesawang AFC www.the-afc.com.

Kegagalan Selangor melangkah ke pusingan kedua menyaksikan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merupakan juara bertahan, menjadi wakil tunggal menggalas cabaran negara pada kejohanan tahap kedua kelab Asia itu.

JDT yang pasti menjuarai Kumpulan H akan menamatkan aksi kumpulan mereka menentang wakil India, Bengaluru FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Rabu. -BERNAMA

Selangor, Piala AFC, Tampines Rovers

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain