suria

David Usop Ganti Rajagopal Sebagai Jurulatih Liga Super Sarawak

David Usop. Foto fourfourtwo.com

KUCHING: Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal digantikan sebagai jurulatih Liga Super Sarawak oleh penolongnya, David Usop berikutan prestasi lemah pasukan dalam Liga M.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) berkata, pihak pengurusan pasukan itu mengambil keputusan merombak barisan jurulatihnya dan memberi mandat kepada Usop untuk mempersiapkan pasukan berkenaan menghadapi baki perlawanan dalam Liga M musim ini.

“Adalah diharapkan, sebelum perlawanan menentang Perak di Kuching pada 18 Mei dan 21 Mei di Ipoh, Usop mempunyai masa secukupnya untuk mempersiapkan mereka," kata kenyataan itu.

Sementara itu, menurut FAS, Rajagobal akan diberi tanggungjawab lain. 

“Keputusan itu diambil berikutan prestasi tidak memuaskan dan keputusan lemah pasukan Sarawak dalam Liga Super,” kata kenyataan itu.

Usop, yang juga penolong kepada bekas ketua jurulatih Robert Alberts bagi beberapa musim, memainkan peranan penting dalam menyelamatkan pasukan itu daripada melungsur ke Liga Premier selepas kontrak Alberts ditamatkan pada musim lepas.

Selepas beraksi dalam 10 perlawanan, Sarawak hanya mencatat satu kemenangan, kalah enam kali serta seri tiga kali dan menduduki tempat tercorot dalam Liga Super.

FAS juga dijangka tidak meneruskan kontrak pemain asingnya dan akan mengambil pemain baharu apabila jendela perpindahan dibuka Jun ini. - Bernama

K. Rajagobal, David Usop

Artikel Lain