suria

FMLLP Nafi Kaut Untung Menerusi Penjualan Tiket Final Piala FA

Kevin Ramalingam.

KUALA LUMPUR: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), yang bertanggungjawab menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini, menafikan ia cuba mengaut keuntungan apabila menjual tiket final Piala FA pada harga RM50.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata hasil jualan tiket itu akan turut diberikan kepada pasukan bertanding.

"Segala keuntungan yang diperoleh adalah demi kebaikan setiap pemegang taruh kami iaitu semua pasukan yang bertanding dalam liga kelolaan kami,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim dijadual menentang wakil Liga Perdana, PKNS FC pada aksi final di Stadium Shah Alam 14 Mei ini.

Beberapa pihak termasuk Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebelum ini mendakwa harga RM50 yang dikenakan oleh FMLLP dilihat lebih membebankan penyokong kedua-dua pasukan.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa turut dilaporkan mempersoalkan ketiadaan tiket khas untuk kanak-kanak dan pelajar bagi menyaksikan aksi final berkenaan.

Dalam pada itu, Kevin menjelaskan pihaknya tidak mewujudkan jualan tiket untuk kanak-kanak pada aksi final berkenaan kerana mendakwa tiga peratus daripada jualan keseluruhan yang diperuntuk buat golongan itu, tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau sebaliknya menegaskan FMLLP sentiasa mewujudkan pelbagai aktiviti untuk menarik golongan kanak-kanak meminati bola sepak tempatan.

"Sebagai contoh, untuk perlawanan akhir ini, kami anjurkan program khas buat 1,000 kanak-kanak berumur dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun secara percuma.Ini adalah inisiatif bersama rakan rasmi kami dalam menjayakan program ini,"katanya.

Menerusi program berkenaan, yang turut mendapat kerjasama daripada penaja utama Piala FA iaitu Superbest Power, kanak-kanak berkenaan berpeluang melihat sendiri di sebalik tabir perjalanan aksi final berkenaan di samping berjumpa pemain kedua-dua pasukan.

Program sedemikian dilihat lebih efektif dalam memupuk minat golongan kanak-kanak menyaksikan keghairahan bola sepak tempatan berbanding hanya duduk di kerusi di dalam stadium, jelasnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan program itu adalah selari dengan kempen 'Say No To Hooliganism' yang diwujudkan oleh pihaknya bagi mendidik penyokong supaya tidak melakukan perkara negatif ketika berada di dalam stadium. - BERNAMA

FMLLP, Kevin Ramalingam

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain