suria

Jinq En Perlukan 0.8 Saat Untuk Ke Sukan Olimpik Secara Merit

TERBAIK... Jinq En menunjukkan pingat emas bagi kategori Kuak Dada Wanita 100 meter yang dimenangi pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-59 di Pusat Akuatik Darul Ehsan pada Khamis. - fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Perenang negara Phee Jinq En hanya memerlukan 0.8 saat sahaja untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro di Brazil secara merit dalam acara 100 meter kuak dada wanita.

Bagaimanapun, beliau berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan terpantas satu minit 08.65 saat pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-59 di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini.

Sebelum ini, beliau melakukan catatan 1:08.99s pada Mac lepas manakala had masa kelayakan ke Sukan Olimpik adalah 1:07.85s.

Jinq En, yang mewakili Sarawak meraih pingat emas, mengalahkan rakan sepasukannya Erika Kong di tempat kedua dengan catatan 1:12.26s manakala perenang Indonesia, AT Vanessa Evato di tempat ketiga dengan 1:13.06s.

"Bukan mudah untuk memecut walaupun dalam masa sesaat tetapi saya yakin dapat layak ke Olimpik secara merit.

"Saya memang menjangka untuk perbaharui rekod kebangsaan tetapi saya tidak sangka dapat melakukan catatan masa terbaik hari ini. Masih ada peluang untuk layak ke Sukan Olimpik secara merit, saya akan terus mencuba," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Jinq En yakin beliau boleh meraih tiket A ke Sukan Olimpik menerusi tiga lagi kejohanan di Eropah bulan depan.

Beliau akan menjalani latihan di Australia selama dua minggu sebelum ke Eropah.

Percubaan seorang lagi perenang negara Welson Sim untuk menambah kelayakan Tiket A ke Sukan Olimpik bagi acara 100m gaya bebas lelaki tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 50.64 saat.

Pingat emas dimenangi oleh Triady Fauzi Sidiq dari Indonesia dengan catatan terpantas 50.36s manakala tempat ketiga menjadi milik Aaron D'Souza dari India dengan 50.98s.

Welson dari Sarawak meraih tiket ke Sukan Olimpik secara merit dalam acara 400 meter gaya bebas. - BERNAMA

merit, Sukan Olimpik, Phee Jinq En, renang

Artikel Lain