suria

12 Pelumba P.Pinang Terima Bantuan Kerajaan Negeri

Pelumba-pelumba persendirian kelahiran Pulau Pinang gembira dengan insentif khas yang diberikan kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Seramai 12 pelumba persendirian kelahiran Pulau Pinang gembira dengan insentif khas yang diterima ketika beraksi pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu lalu.

Sumbangan berjumlah RM5,000 diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Haji Mohd Rashid Bin Hasnon sebagai sumbangan khas dan dibahagi sama rata kepada 12 pelumba persendirian kelahiran negeri itu yang beraksi dalam perlumbaan kelas terbuka. 

Pelumba persendirian membawa maksud kepada mereka yang mengambil bahagian di dalam siri perlumbaan kebangsaan ini tanpa bantuan pasukan profesional atau pun penaja. 

“Kami gembira kerana merupakan pelumba awal yang menerima sumbangan seperti ini,” jelas pemenang tempat kedua kategori Pertronas Sprinta Pro-Am, Muiz Al-Atrash Ghani. 

“Sumbangan ini merupakan yang pertama dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri kepada pelumba persendirian seperti kami dan ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos perlumbaan seperti yuran pendaftaran, pengangkutan dan kos logistik lain. 

“Kami berharap selepas ini lebih banyak negeri yang menjadi hos kepada kejuaraan ini melakukan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Siapa tahu mungkin satu hari nanti bintang sukan permotoran Malaysia akan lahir dari kalangan mereka yang memulakan karier secara persendirian.” 

Saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan pada 16 dan 17 April lepas berjaya menarik minat 153 penyertaan dalam enam kategori pertandingan.

Pusingan 3 akan berlangsung di Kangar, Perlis pada 30 April dan 1 Mei 2016.

Artikel Sebelum

Artikel Lain