suria

Piala AFC: Gomez Sasar Pertahan Rekod Tanpa Kalah JDT

Mario Gomez.

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez mahu mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan bola sepak itu dalam kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila bertemu Lao Toyota FC dalam perlawanan keempat Kumpulan H di Stadium Nasional Laos, Rabu.

Beliau mengakui kemenangan adalah penting buat skuad Harimau Selatan  menempah tiket awal untuk 16 tempat terakhir kejohanan kelab tahap dua Asia itu.

"Bagi kami, ia adalah satu lagi perlawanan penting kerana kami memiliki sembilan mata dan kami perlukan mungkin satu mata lagi untuk ke pusingan seterusnya tetapi kami mahu menang esok (Rabu). Ini adalah penting buat kami," jurulatih dari Argentina itu berkata dalam sidang akhbar praperlawanan yang dipetik dari laman sesawang AFC, www.theafc.com.

"Tiada pemain kami yang cedera, namun kami mungkin merehatkan tiga atau empat pemain tetapi kami mempunyai pemain yang baik untuk diturunkan," kata Gomez.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Lao Toyota FC, Valakone Phomphakdy menzahirkan keyakinan beliau bahawa anak buahnya mampu mencuri satu mata daripada JDT biarpun turun tanpa pemain pertahanan Jepun, Takahiro Saito yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah semasa kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Larkin pada 16 Mac lepas.

"Johor adalah sebuah kelab yang mengagumkan, salah satu yang terbaik di ASEAN dengan ramai pemain berkualiti tetapi jika kami percaya kepada kualiti kami dan diri sendiri, kami akan berupaya untuk membuat perubahan besar," katanya.

JDT kini mendahului kedudukan Kumpulan H dengan sembilan mata selepas bermain tiga perlawanan manakala Lao Toyota FC berada di tangga terbawah dengan satu mata. - BERNAMA

JDT, Piala AFC

Artikel Berikut

Artikel Lain