suria

Azarenka Rangkul Trofi Ketiga Terbuka Miami

Azarenka muncul juara Terbuka Miami.

VICTORIA Azarenka berjaya menundukkan Svetlana Kuznetsova 6-3 6-2 untuk menjulang trofi Terbuka Miami di Florida, awal pagi Ahad.

Pemain kelahiran Belarus itu mengambil masa selama 80 minit untuk menamatkan saingan di gelanggang keras Key Biscayne sebelum merangkul trofi ketiganya pada tahun ini.

Sebelum ini, Azarenka memenangi perlawanan di Indian Wells dan Brisbane.

Ia adalah trofi ketiga pada kejohanan Terbuka Miami untuk pemain berusia 26 tahun itu dan kali pertama beliau memenangi kejohanan sama lebih daripada dua kali.

Beliau juga merupakan wanita pertama memenangi kejohanan di Indian Wells dan Miami berturut-turut selepas Kim Clijsters melakukannya pada 2005.

"Kemenangan ini memberi lebih inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus bekerja lebih keras.

"Saya gembira kerana segala usaha yang saya lakukan akhirnya memberikan hasil. Ia satu penghargaan kerana dapat beraksi dengan konsisten sepanjang bulan ini," kata Azarenka.

Azarenka kembali mempamerkan aksi berbisa selepas menduduki tangga teratas ranking dua empat tahun lalu, sebelum bergelut dengan kecederaan dan masalah peribadi.

Beliau turut menewaskan Serena Williams pada aksi final di Indian Wells, dua minggu lalu.



Victoria Azarenka, Terbuka Miami

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain