suria

Ronaldo Minta Maaf Guna WhatsApp Kepada Rakan Pasukan

Cristiano Ronaldo.

BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo dilaporkan meminta maaf kepada rakan pasukannya menerusi aplikasi WhatsApp selepas mengeluarkan komen kontroversi berhubung kekalahan pasukan tersebut, hujung minggu lalu.

Real tewas 0-1 kepada Atletico Madrid pada aksi La Liga di Bernabeu, awal pagi Ahad.

Ronaldo dipetik sebagai berkata, keputusan sebaliknya akan berlaku jika setiap pemain berada pada tahap sepertinya.

"Sekiranya sesiapa sahaja mempunyai tahap permainan seperti saya, kita akan menjadi pasukan pertama. Setiap tahun, menurut media, saya seolah-olah seperti sampah tetapi nombor dan statistik tidak akan menipu.

"Saya tidak mahu memperkecilkan sesiapa sahaja, mana-mana rakan dalam pasukan tetapi apabila kita tidak hebat agak sukar untuk menang. Saya suka bermain dengan Pepe, Karim (Benzema), Gareth Bale dan Marcelo.

"Saya tidak maksudkan Jese, Lucas [Vazquez], [Mateo] Kovacic tidak bagus tetapi... "Saya tidak tahu jika saya tidak bersedia pada separuh pertama musim ini tetapi kami bergelut dengan kecederaan dan ia amat menyakitkan.

"Kami mempunyai banyak peluang dan kami layak menang tetapi itulah bola sepak," katanya.

Menurut laporan El Mundo, pemain berusia 31 tahun itu kemudiannya meminta maaf kepada rakan pasukannya menerusi WhatsApp.

Ronaldo dikatakan berbuat demikian kerana kenyataan tersebut menguris hati beberapa rakan pasukannya.

Dalam satu temubual dengan Marca, Ronaldo tampil menjelaskan komen kontroversinya itu.

"Saya merujuk kepada tahap kecergasan, bukan tahap permainan. Saya lebih bagus daripada mana-mana rakan dalam pasukan ini," katanya.


Real Madrid, Cristiano Ronaldo

Artikel Lain