suria

Masalah Penyudah Buat Tan Cheng Hoe 'Pening'

BARISAN pemain Kedah diingatkan supaya memperkemaskan kawalan bola dan tidak membiarkannya mudah dirampas lawan.

Peringatan itu diberikan Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe yang mahukan pemain membaiki kelemahan yang berlaku dalam tiga perlawanan Liga Super termasuk ketika menentang Perak, Sabtu lalu.

Menurutnya, selain itu, ketajaman penyudah antara fakor penting yang perlu diberi perhatian oleh pemain selepas mereka sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan sebelum ini.

"Kita berjaya mencipta banyak peluang dalam perlawanan sebelum ini tetapi ketajaman penyudah masih menjadi penghalang untuk mendapatkan gol.

"Perkara ini perlu diatasi dalam perlawanan menentang Kelantan pada Selasa. Pemain perlu berusaha menterjemahkan usaha kepada gol yang akan memberikan mata," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, tiada perubahan dari segi corak permainan akan dilakukan kerana pemain berjaya mengadaptasikan taktikal yang ditetapkan.

Namun, jelasnya, beberapa kelemahan perlu diatasi segera kerana aksi Liga Super kini akan memasuki perlawanan keempat dan Kedah perlu mengutip mata penting.

"Saya tidak begitu bimbang dengan corak permainan barisan pertahanan kerana gandingan Bang Seung Hwan, Khyrul Helmi Johari, Arif Farhan dan Azmeer Yusof berjaya membentuk benteng ampuh.

"Cuma mereka perlu konsisten dan menggandakan usaha supaya dapat memberikan aksi yang lebih baik dalam perlawanan menentang Kelantan.

"Dalam sesi latihan terakhir pada petang Isnin, kami akan berusaha melakukan sesuatu supaya barisan serangan kembali menghasilkan gol.

"Gol dalam perlawanan ini penting kerana selain beraksi di gelanggang sendiri, kita perlu mengutip tiga mata penuh untuk mengubah kedudukan Liga Super ke tempat yang lebih baik," tegasnya.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Aksi Van Gaal Jatuh Jadi Viral

Artikel Berikut

Artikel Lain