suria

Liga Super: Tiket Percuma Kedah-Terengganu Pada Selasa

ALOR SETAR: Peminat bola sepak Kedah boleh menyaksikan perlawanan Liga Super antara skuad Helang Merah dan Terengganu di Stadium Darul Aman, di sini secara percuma Selasa malam.

Ini berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menyediakan 24,000 tiket percuma yang boleh diperoleh di 16 kaunter tiket di stadium itu mulai pukul 10 pagi Selasa.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Masri Syed Abdullah berkatakeputusan itu dibuat kerajaan negeri dan KFA sebagai menghargai peminat bola sepak negeri itu.

"Setiap peminat hanya boleh dapatkan satu tiket sahaja. KFA juga akan memperuntukan 200 tiket kepada setiap 30 anggota gabungan KFA," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai kedudukan Presiden KFA yang kosong selepas ditinggalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebaik meletakkan jawatan Menteri Besar baru-baru ini, Syed Unan berkata pelantikan mungkin hanya dapat dibuat selewat-lewatnya Mac ini.

"Kena buat mesyuarat Exco dulu secepat mungkin dalam minggu ini dan kemungkinan besar awal bulan Mac kita akan lantik.

"Barisan Exco tiada perubahan, sebab masih kekal hingga 2018. Hanya jawatan presiden kosong, presiden kena ada pencalonan... itu yang kita kena ikut perlembagaan persatuan," katanya. 

Mengenai tajaan pasukan, Syed Unan berkata pihaknya masih lagi berusaha mencari penaja baharu untuk skuad Helang Merah.

"Penaja sebelum ini belum beri kata putus untuk tarik diri, jadi kita akan menyusul...kalau dia berminat juga dengan syarat itu, kita mungkin akan dapat," katanya.  

Baru-baru ini, beberapa pihak yang  dilapor berminat menaja skuad Helang Merah dikatakan menarik diri termasuk syarikat produk kesihatan dan kecantikan D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd milik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.-Bernama

Liga Super, Kedah, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Lain