suria

Khairy Bidas Tindakan Lembap KOM

Khairy Jamaluddin (kanan) bersama atlet Olahraga Para Asean pada majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Kontinjen Negara ke Sukan Para Asean Singapura 2015 di Pusat Paralimpik Kampung Pandan.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membidas sikap berdolak-dalik Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam membuat keputusan bagi mengesahkan rekod kebangsaan 100m yang dicipta pelari pecut, Badrul Hisyam Abd Manap.

Khairy berkata KOM sepatutnya menyelesaikan permasalahan tersebut dengan segera tanpa memberi harapan palsu kepada atlet muda itu yang dikatakan telah memadamkan rekod 17 tahun milik Watson Nyambek.

Beliau turut menasihatkan semua persatuan sukan termasuk KOM, jika berlaku perkara seumpama itu lagi, mereka tidak perlu mengambil masa lama dengan mengadakan mesyuarat berulang kali tanpa mencapai keputusan muktamad.

"Persatuan kena uruskan dengan cepat sebab benda ini bukan berlaku semalam, dah beberapa bulan dan maklumat telah diperoleh daripada negara penganjur, Brunei.

"Jadi lain kali, jangan bagi harapan palsu dan mengambil masa begitu lama untuk mengesahkan sesuatu yang penting terutamanya mengenai rekod baharu kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Pusat Paralimpik Kampung Pandan, di sini hari ini.

Insentif SHAKAM itu diberikan kepada atlet yang meraih pingat pada Sukan Para ASEAN di Singapura; Kejohanan Wushu Remaja Asia, Mongolia; Kejohanan Skuasy Individu Remaja Bawah 19 Asia, Iran dan Kejohanan Wushu Dunia, Indonesia tahun lepas.

Khairy berharap Badrul Hisyam tidak putus asa kerana usianya masih muda dan boleh membuktikan prestasi sebenarnya pada masa akan datang.

Beliau percaya Badrul Hisyam mampu mencipta rekod baharu yang akan memadamkan rekod 10.30s milik Watson Nyambek dalam acara 100m.

"Saya berpendapat hanya tunggu masa bagi Badrul Hisyam memecahkan rekod kebangsaan. Saya harap dia akan terus berusaha dan apabila beliau pecah rekod, tidak akan ada sebarang keraguan lagi.

"Saya pun tidak mahu dia memiliki rekod yang ada keraguan oleh kerana penanda angin itu tidak diletakkan di tempat yang betul," katanya.

Semalam, KOM memutuskan catatan masa 10.29s yang direkodkan Badrul Hisyam dalam acara 100m pada temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Brunei tahun lepas, tidak diiktiraf sebagai rekod baharu kebangsaan.

Susulan keputusan KOM itu, Watson masih kekal sebagai pemegang rekod 100m dengan masa 10.30s yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Malaysia 1990.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain