suria

Kim Swee Pilih Hassan Sazali Sebagai Pembantu

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee melantik bekas pembantu beliau, Hassan Sazali Mohd Waras bagi membantu membimbing skuad berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman sesawangnya www.fam.org.my memaklumkan Hassan Sazali, 51, akan bersama penolong jurulatih sedia ada, Brad Maloney dari Australia dan Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol) bagi melatih skuad Harimau Malaya.

Mengulas mengenai pelantikannya, Hassan Sazali yakin pengalaman selama enam tahun bersama Kim Swee dalam skuad B-23 negara, akan diteruskan dalam membentuk skuad kebangsaan yang mantap.

Beliau, bagaimanapun mengakui tanggungjawab berkenaan bukannya mudah terutama dalam usaha memperbaiki ranking Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-171 dunia.

"Bagi saya, ia satu tugas mencabar. Bukan saya mahu memberi alasan tetapi ini satu cabaran yang perlu kami tempuhi bersama bagi mencapai sasaran yang diharapkan iaitu memperbaiki ranking Malaysia sekurang-kurangnya ke tangga 140 dunia.

"Sudah tentu apabila mempunyai tiga pembantu, ia akan lebih memudahkan tugas Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih. Saya kini menanti arahan daripada beliau untuk tugasan yang akan diberikan kepada saya, Brad dan Yong," katanya.

Hassan Sazali yang mengendalikan skuad Harimau Muda C sepanjang 2014 dan 2015, pernah menjadi pembantu kepada Kim Swee dalam skuad Harimau Muda A dan Bdari 2008 hingga 2013.

Beliau sebelum ini, bersama empat calon lain - P. Maniam, Reduan Abdullah, Azlan Johar dan Aminuddin Hussin - telah menjalani latihan pemilihan selama dua minggu bagi jawatan penolong jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Frank Bernhardt. 

Namun, jurulatih baharu skuad B-22 negara berasal dari Jerman itu sehingga kini belum mengumumkan pembantunya. 

Kim Swee, 46, secara rasmi dipilih sebagai ketua jurulatih kebangsaan Isnin lepas (18 Jan), selepas berjaya mengenepikan dua calon lain - bekas jurulatih Johor Darul Takzim Bojan Hodak dan bekas jurulatih Sarawak Robert Alberts.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain