suria

Isu Azrif: TMJ Mohon Maaf

PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta maaf kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di atas kesilapan pihaknya cuba mendapatkan khidmat pemain pertahanan negeri itu, Mohd Azrif Nasrulhaq.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bagaimanapun akur bahawa Mohd Azrif kekal milik Selangor.

Jelas Tunku Ismail, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya supaya berhubung dengan FAS bagi memaklumkan mengenai kekeliruan yang timbul itu.

"Saya minta (kapten) Mohd Fahmy untuk sampaikan kepada FAS bahawa kami telah buat silap dan kami minta maaf.

"Perkara itu sudah diselesaikan dengan FAS. Jadi pemain tersebut menjadi hak milik Selangor. Kami ucapakan selamat maju jaya kepadanya," kata Tunku Ismail menerusi video temubual eksklusif dari Thailand yang dimuat naik dalam laman Facebook Johor Southern Tiger.

Dalam video berdurasi dua minit itu, Tunku Ismail menjelaskan bahawa masalah itu timbul disebabkan kesilapan pencari bakat pasukan tersebut yang gagal memberi maklumat tepat mengenai status Mohd Azrif.

"Kami mendapat maklumat kurang tepat daripada pencari bakat yang dilantik dan apabila kami jumpa pemain itu, dia memberitahu ada kontrak setahun bersama Selangor," katanya.

Justeru, Tunku Ismail memutuskan untuk tidak meneruskan hasratnya mengambil pemain tersebut selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa tindakan tersebut bertentangan dengan undang-undang badan induk bola sepak itu.

"Kami diberitahu oleh pihak FAM mengenai undang-undang yang kami tak boleh berhubung atau berunding dengan mana-mana pemain kalau pemain tersebut ada lagi satu tahun kontrak," katanya.

Terdahulu, Mohd Fahmy menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi pasukan itu berkata, pencari bakat tersebut telah pun diberhentikan serta merta kerana gagal mendapatkan maklumat tepat mengenai pemain tersebut.

"Kelab terkejut apabila mendapati pemain ini masih terikat dengan pasukan Selangor dan pencari bakat tidak menyelidik dengan tepat status pemain tersebut.

"Setelah mendapat tahu perkara ini, JDT tidak berhasrat lagi untuk menandatangani pemain tersebut," kata Mohd Fahmy.

Sementara itu, pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari menegaskan FAS menolak tawaran tebus kontrak bernilai RM960,000 yang disediakan pasukan dari selatan tanah air itu kepada pemain berusia 24 tahun berkenaan.

Amirudin berkata, Mohd Azrif akan tetap mewakili juara 33 kali Piala Malaysia itu dalam aksi Liga Malaysia musim ini.



Artikel Berikut

Artikel Lain