suria

Megah Perawan Tangguh Niat Taja PKNS FC

Megah Perawan dan PKNS FC terbuka untuk sebarang kerjasama pada masa depan.

PETALING JAYA: Selepas mengambil kira beberapa faktor, syarikat pengeluar produk kecantikan, Megah Perawan menangguhkan niat untuk menaja pasukan PKNS FC yang akan bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

Pengarah Urusan Megah Perawan Sdn Bhd, Khairilaziry Wahid memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat khidmat nasihat dan pandangan pihak PKNS FC.

“Selepas perjumpaan dengan pihak PKNS FC minggu lalu, saya meneliti beberapa perkara, lebih-lebih lagi berkenaan dengan kebaikan kedua-dua pihak.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, pertemuan dengan presiden kelab (Siti Zubaidah Abd Jabar) bukan untuk mengikat kontrak atau persetujuan, tetapi adalah sesi perkenalan.

“Apa yang penting, saya perlu memperkemaskan lagi beberapa perkara bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat faedah yang lebih baik.

“Malah PKNS FC banyak memberi maklumat yang jelas berkenaan tajaan memandangkan mereka juga terlibat dalam bidang perniagaan. Jadi keduanya-duanya memahami apa yang diperlukan.

“Yang pasti bukan kerana masalah nilai tajaan, tetapi lebih kepada keuntungan kedua-dua pihak,” jelasnya kepada mStar Online pada Rabu.

Khairilaziry atau lebih dikenali dengan panggilan Zach berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan PKNS FC satu hari nanti.

“PKNS FC terbuka dan bersedia menjalinkan kerjasama di masa akan datang.

“Malah mereka juga turut memberi cadangan yang baik untuk rujukan saya nanti memandangkan ini pertama kali saya cuba menaja pasukan sukan.

“Bagi pihak saya, niat ini mungkin akan dilaksanakan selepas memperkemaskan syarikat saya dahulu. Maksudnya dari segi  produk untuk lelaki yang boleh memberi gambaran yang  baik dari segi pemasaran,” katanya.

Pada masa sama, Zach menafikan pihaknya sengaja untuk mendapatkan publisiti syarikat atau menimbulkan sebarang kontroversi.

“Kalau nak cari publisiti, baik kami cari pasukan yang bersaing dalam saingan Liga Super yang lebih terkenal.

“Niat kami adalah untuk bekerjasama dalam meningkatkan lagi prestasi sesebuah pasukan itu, namun niat ini belum terlaksana dan mungkin juga masanya tidak sesuai,” tambahnya.

Sementara itu, Siti Zubaidah berkata, pihaknya menerima keputusan Megah Perawan dengan positif.

“Seperti yang diketahui pertemuan dengan Megah Perawan tempoh hari hanya sekadar pertemuan dua pihak untuk mengetahui lebih lanjut potensi masing-masing.

“Kami menilai apa boleh memberi manfaat dan mereka mencari mana-mana ruang yang boleh perluaskan bidang pemasaran.

“Mereka menghubungi saya dan memberitahu ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Selepas berbincang, kami dengan hari terbuka menerima keputusan tersebut. 

“Malah turut mengalu-alukan sekiranya Megah Perawan ingin meneruskan niat mereka menaja kami,” katanya ketika dihubungi petang Rabu.

Tambah Siti Zubaidah, walaupun hubungan dengan Megah Perawan tidak menjadi kenyataan, ia tidak merencatkan sebarang perancangan PKNS FC musim ini.

“Sebenarnya penaja utama kami adalah PKNS sendiri. Selain itu ada beberapa syarikat lain telah menaja pasukan seperti pakaian sukan Kappa untuk digunakan sepanjang nusim ini.

“Dan satu lagi syarikat Poweroot yang telah menaja kami sejak tahun lepas dari segi wang tunai dan minuman bertenaga kepada pemain.

“Kami memang mengalu-alukan mana-mana syarikat untuk memberi tajaan kerana selain tumpuan pasukan utama PKNS FC, kami juga boleh menggunakan tajaan-tajaan itu untuk program pembangunan kelab,” tambahnya.

PKNS FC, Megah Perawan

Artikel Sebelum

Isu Azrif: TMJ Mohon Maaf

Artikel Berikut

Artikel Lain