suria

Kes Rayuan Sazali Diselesai Dalam Masa Terdekat - PBBM

Sazali Samad.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) akan menyelesaikan rayuan kes doping jaguh bina badan negara, Sazali Samad dalam masa terdekat.

Setiausahanya Kamaruzaman Kadir berkata Jawatankuasa Rayuan PBBM akan mengadakan persidangan pertama dalam masa beberapa hari lagi mengenai rayuan Sazali untuk mengurangkan tempoh penggantungan selama empat tahun itu.

"Saya telah menghantar surat yang mengandungi maklumat terperinci kes ini kepada mereka (Jawatankuasa Rayuan) pada Sabtu lepas. Saya tidak pasti bila jawatankuasa tersebut akan berlangsung, tapi dalam masa terdekat...Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi.

"Sehingga semalam (Selasa), saya belum menerima apa-apa perkembangan. Mereka akan memaklumkan kepada saya bila mereka hendak buat persidangan pertama. Buat masa ini, tak tahu lagi siapa ahli jawatankuasa rayuan itu, dalam persidangan pertama baru akan dilantik," katanya.

Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) PBBM pada 21 Disember menjatuhi hukuman penggantungan selama empat tahun kepada Sazali selepas gagal dalam ujian doping di luar pertandingan yang dijalankan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lepas, sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-49 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September-5 Oktober.

Pemenang gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali itu didapati positif mengambil bahan terlarang Kelas S1 (Steroid), telah mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman itu pada 8 Januari lepas kepada PBBM atas alasan bahan terlarang itu mungkin terkandung dalam suplemen yang diambil ketika berada di Amerika Syarikat tanpa sengaja.

Kamaruzaman tidak menolak kemungkinan bahawa atlet berusia 48 tahun itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Rayuan sekiranya jawatankuasa tersebut memerlukan.

"Apa-apa pun keputusan mengenai isu ini dan bila mereka (jawatankuasa) akan mengumumkan keputusan ini bergantung kepada mereka dan saya tidak mahu membuat andaian. Namun, kes ini akan diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012); Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar 'Orang Besi Malaysia', pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. - BERNAMA

Sazali Samad, PBBM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Isu Azrif: TMJ Mohon Maaf

Artikel Lain