suria

Megah Perawan Yakin PKNS FC Mampu Pergi Jauh

Khairil Aziry Wahid (kiri) dan Nur Zarina Zakaria (dua, kiri) bersama Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar (dua, kanan) dan Setiausaha PKNS FC, Md. Adi Harmizi Ariffin (kanan) selepas perbincangan mengenai penajaan untuk pasukan bola sepak Liga Perdana PKNS FC di Ibu Pejabat Megah Perawan Sdn Bhd, Khamis.

SUNGAI BULOH: Pasukan bola sepak Liga Perdana, PKNS FC hampir pasti mendapat suntikan semangat menerusi tajaan jutaan ringgit daripada syarikat produk kecantikan, Megah Perawan bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pertemuan bersama Megah Perawan berjalan lancar dan kini di peringkat akhir perbincangan sebelum menandatangani kontrak penajaan.

“Sebenarnya pertemuan hari ini lebih kepada mengenali lebih dekat dengan syarikat ini memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Namun bagi pihak PKNS FC ia sesuatu yang baik.

“Ini satu suntikan semangat bagi kedua-dua pihak. Tajaan ini sebenarnya bukan hanya untuk pasukan utama yang bersaing dalam aksi liga, tetapi ia juga boleh membantu pembangunan bola sepak bagi PKNS FC.

“Sekarang kami ada sembilan pasukan pelapis Bawah 8 Tahun. Bayangkan kalau kita mendapat tajaan ini, kita boleh kembangkan lagi program sedia ada,” jelasnya kepada wakil media selepas pertemuan kedua-dua pihak di Bukit Rahman Putra, di sini, Khamis.

Sementara itu, Pengarah Urusan Megah Perawan Sdn Bhd, Khairilaziry Wahid berkata, jumlah tajaan dapat diumumkan beberapa hari lagi.

“Mengenai syarat-syarat yang ditetapkan pasukan ini, saya perlu meihat dengan lebih teliti lagi.

“Secara dasarnya kami sudah sedia bekerjasama. Apa yang penting kedua-dua pihak mendapat keuntungan yang sama atau ‘win win situation’,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairilaziry atau lebih dikenali dengan panggilan Zach menjelaskan penglibatan syarikatnya dalam sukan bola sepak bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak, tetapi membantu mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

"Saya lebih suka positif dan berniat untuk berkongsi dengan pasukan yang berhak untuk menjadi lebih mantap memandangkan PKNS FC merupakan sebuah kelab yang mampu pergi jauh.

“Sebelum ini PKNS FC beraksi dalam Liga Super. Dan kami yakin mereka boleh kembali ke liga utama itu dengan kerjasama ini,” tambahnya.

Megah Perawan ditubuhkan empat tahun lalu dengan menghasilkan produk-produk kecantikan wanita oleh pengasasnya, Nurzarina Zakaria atau dikenali dengan panggilan Mekna Perawan.

Liga Malaysia yang bakal  bermula 12 Februari akan dimeriahkan dengan kehadiran beberapa syarikat produk kecantikan yang melabur jutaan ringgit untuk pasukan pilihan mereka bersaing musim ini.


Megah Perawan, PKNS FC, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain