suria

Kehadiran Chong Wei Penting Di BATC-Iskandar

GENTING HIGHLANDS: Kehadiran jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di India, bulan depan tetap ditagih untuk menyemarakkan semangat skuad kebangsaan.

Juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengakui khidmat pemain ranking kelima dunia itu masih diperlukan untuk membimbing barisan muda negara yang majoritinya cetek pengalaman.

Apa lagi kejohanan di Hyderabad dari 15-21 Februari itu menawarkan tiket kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas yang dijadualkan di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei nanti.

"Saya rasa pemain muda tidak mampu lagi (memberikan cabaran kepada negara lain seperti Jepun dan China) sekiranya Chong Wei tiada dalam senarai.

Kehadirannya akan memberi lebih semangat kepada pemain negara.

"Kalau Chong Wei tak mahu main di India sekalipun, sekurang-kurangnya letakkan dia dalam senarai pemain bagi menggentarkan lawan," kata anak jati Johor itu ketika ditemui pada Kejohanan Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting di sini, Khamis. 

"Kehadirannya juga sudah cukup memberikan semangat kepada rakan sepasukan selain mampu menimbulkan rasa gusar kepada lawan yang bakal dihadapi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Chong Wei meminta dikecualikan daripada kejohanan di India kerana mahu memberi tumpuan khusus kepada persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016, Ogos ini.
Kejohanan di India itu menawarkan enam tiket ke Piala Thomas termasuk dua tiket automatik yang diberikan kepada Jepun sebagai juara bertahan serta tuan rumah edisi 2016, China.

Tanpa ada barisan pemain perseorangan yang berwibawa serta gandingan beregu yang masih tidak konsisten, Malaysia berdepan tugas berat merebut empat tiket terakhir yang turut disaingi enam negara lain - Indonesia, Korea Selatan, Thailand, India, Singapura dan Taiwan.

Enam wakil Asia itu akan disertai empat negara Eropah dan masing-masing satu dari Afrika, Pan-Amerika dan Ocenia di pusingan akhir, manakala tiga slot terakhir diberikan kepada negara yang mempunyai senarai ranking berpasukan terbaik, bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Sebagai rekod, Malaysia belum pernah gagal mara ke pusingan akhir Piala Thomas sejak ia diperkenalkan pada 1949.

Biarpun masih berpeluang mara ke Piala Thomas menerusi pintu belakang atas tiket kedudukan ranking berpasukan dunia, reputasi negara pasti terjejas teruk apa lagi selepas mengambil Morten Frost sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sementara itu, Iskandar tidak meletakkan sasaran khusus pada Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters di Pulau Pinang dari 19-24 Jan ini, sebaliknya mahu memberi fokus kepada satu demi satu perlawanan.

"Saya akan menentang (pilihan keempat), Son Wan Ho dari Korea Selatan pada pusingan pembukaan, jadi ia bukan perlawanan yang mudah namun saya akan cuba beri yang terbaik,"katanya.

Untuk rekod, Iskandar melakar pencapaian cemerlang musim lepas apabila menyambar lima gelaran termasuk tiga kejuaraan antarabangsa iaitu Siri Antarabangsa Singapura, Siri Antarabangsa Poland, Cabaran Antarabangsa Switzerland, Terbuka Perak dan Kejohanan GP Akhir Kebangsaan.-- Bernama



Lee Chong Wei, BATC, India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain